PETALING JAYA – ‘Im sorry guys’.
Hantaran tersebut dipercayai menjadi mesej terakhir pempengaruh media sosial, Haroqs sebelum dia dan beberapa aktivis lain yang turut menaiki bot Alcyone dilaporkan ditahan rejim Zionis semasa dalam usaha bersama misi Global Sumud Flotila (GSF) untuk ke perairan Gaza.
Dia turut memuat naik video yang menunjukkan pemintasan yang dilakukan oleh pihak Israel terhadap bot Zefiro yang turut dinaiki oleh salah seorang aktivis kemanusiaan dari Malaysia, Dr. Thanisah.
“Zefiro confirm intercepted,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan seramai 25 rakyat Malaysia daripada 350 aktivis GSF telah ‘diculik’ Israel ketika berada di perairan antarabangsa sejak semalam.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang menggerakkan usaha diplomatik dengan beberapa negara termasuk Turkiye dan Sepanyol bagi memastikan kesemua aktivis terbabit dibebaskan segera.
“Kami mengecam tindakan pemintasan dan penculikan ini sebagai perlakuan lanun, bacul dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa khususnya UNCLOS.
“Ia juga merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kebebasan misi kemanusiaan yang dilaksanakan di perairan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di SNCC di Sepang hari ini.
Difahamkan, semua aktivis yang ditahan kini ditempatkan di sebuah ‘penjara atas air’, namun lokasi sebenar mereka masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE.














