KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bermula langkah kanan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas melangkah ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu menewaskan beregu Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana 21-16, 21-14.
Walaupun baru sahaja beraksi di separuh akhir Terbuka Thailand Sabtu lalu, namun beregu yang diberi julukan DinFei itu masih mampu menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
“Saya rasa badan kami tidak ada sebarang masalah, kami ada banyak masa untuk proses pemulihan. Selain itu, kami juga ada satu pasukan yang baik untuk memastikan kami pulih dengan cepat.
“Hari ini bukan satu perlawanan yang mudah kerana mereka memberikan tentangan cukup sengit kepada kami. Kami juga perlu bekerja keras untuk menewaskan mereka,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Sze Fei-Izzuddin memanfaatkan peluang di set kedua ketika pemain lawan mula hilang fokus, sekali gus membuka ruang untuk mereka mengutip mata demi mata dan mencatat kemenangan.
Menjelang pusingan kedua esok, beregu No.9 dunia itu dijadualkan bertemu rakan sepasukan, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang menewaskan Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dari Kanada. – KOSMO! ONLINE














