KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik legenda Nepal yang terkenal dengan identiti muzik rakyat moden, Nepathya bakal menggegarkan Malaysia menerusi sebuah konsert eksklusif selama satu malam pada 1 Jun depan.
Konsert yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menjadi salah satu destinasi penting dalam siri jelajah antarabangsa kumpulan berkenaan bagi tahun 2025 hingga 2026.
Ditubuhkan pada tahun 1990, Nepathya terus kekal sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam industri muzik Nepal selama lebih tiga dekad.
Di bawah pimpinan vokalis utama, Amrit Gurung, kumpulan tersebut berjaya mengekalkan identiti budaya Nepal sambil memperkenalkan gabungan unik muzik rakyat dan rock moden.
Sepanjang perjalanan seni mereka, seramai 24 pemuzik pernah menjadi sebahagian daripada evolusi Nepathya, sekali gus memperkukuhkan reputasi kumpulan itu sebagai platform seni yang sentiasa berkembang.
Bukan sekadar dikenali menerusi 10 album hit, Nepathya juga aktif dalam pelbagai usaha kemanusiaan dan sosial termasuk kempen pendidikan aman, bantuan mangsa gempa bumi Nepal serta sokongan kepada warga emas dan golongan memerlukan menerusi sumbangan jutaan rupee Nepal (NPR).
Kumpulan itu turut dikenali menerusi usaha memelihara budaya tradisional Nepal melalui dokumentasi muzik rakyat dan penerbitan filem seperti Bhedako Oon Jasto.
Sebelum ini, Nepathya telah mengadakan lebih 110 konsert di 19 negara termasuk persembahan berskala besar di Wembley Arena, London dan Manhattan Center, New York.
Peminat yang hadir pada konsert di Kuala Lumpur nanti bakal dihiburkan dengan deretan lagu popular mereka termasuk Chekyo Chekyo, Resham dan Sa Karnali.
Konsert tersebut dijadual bermula pukul 7 malam. Tiket boleh didapati menerusi Ticket2U Malaysia – Nepathya Live in Kuala Lumpur.
Acara berkenaan dipersembahkan oleh DJ Reet Entertainment dan Arbitrary Events serta dianjurkan oleh LFG Entertainment. – KOSMO! ONLINE














