fbpx
Gambar hiasan

UMNO bukan pengkhianat, menang Johor sebelum Kerajaan Perpaduan wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Tuduhan kononnya UMNO mengkhianati mana-mana pihak dalam landskap politik negara disifatkan sebagai tidak berasas dan tersasar daripada fakta sebenar.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022 berlaku ketika Kerajaan Perpaduan belum lagi wujud di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, ia sekali gus menolak naratif kononnya wujud elemen pengkhianatan politik dalam keputusan pasca PRU15.

“Tidak timbul soal pengkhianatan kerana ketika BN menang 40 daripada 56 kerusi di Johor, Kerajaan Perpaduan masih belum wujud.

“Ketika itu kita bertanding dalam suasana pelbagai penjuru dan menang atas kekuatan sendiri,” katanya selepas mengadakan lawatan dan menghadiri mesyuarat pemantauan projek pembinaan infra rakyat kementerian di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril Hospital Taiping di sini hari ini.

Ahmad berkata demikian bagi mengulas dakwaan politik yang mengaitkan kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap blok politik tertentu.

Menurut beliau, realiti politik di Johor perlu dilihat berdasarkan konteks sejarah sebenar, termasuk situasi ketika PRN Johor 2022 yang berlangsung sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 pada November tahun yang sama.

Katanya, keputusan politik di peringkat negeri turut dipengaruhi suara akar umbi parti, hasil siri pertemuan kepimpinan negeri bersama 26 bahagian UMNO di seluruh Johor.

Beliau bersama Mohamed Khaled dan Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Halim Suleiman telah turun padang dalam program penaziran bagi mendapatkan pandangan langsung daripada kepimpinan bahagian.

“Majoriti besar akar umbi yang kami temui menyatakan keinginan untuk BN bergerak secara solo. Saya sendiri sudah pergi ke 18 daripada 26 bahagian,” katanya.

Menurut beliau, sentimen akar umbi tersebut menjadi antara faktor utama pertimbangan hala tuju politik UMNO Johor, selain keyakinan yang dibina hasil kemenangan besar BN pada PRN Johor.

Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa landskap politik negara ketika PRN Johor, PRN Melaka dan PRN Sarawak berlangsung adalah berbeza kerana ketika itu Kerajaan Perpaduan belum terbentuk.

Katanya, selepas PRU15, negara berdepan situasi ‘Parlimen Tergantung ‘sebelum UMNO dan BN mengambil keputusan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah 112 kerusi.

“Ketika itu BN ada 30 kerusi dan PH 82 kerusi. Gabungan ini membolehkan kerajaan dibentuk selepas beberapa hari negara tidak mempunyai kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu memahami konteks masa dan keadaan politik sebelum membuat sebarang tafsiran atau tuduhan terhadap UMNO.

“Kalau kita menang sebelum wujudnya kerjasama, bagaimana boleh timbul isu pengkhianatan? Itu tidak tepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN