SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan memandang ringan sebarang gerakan politik baharu termasuk kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin dua bekas pemimpin kanan parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan meneliti setiap perkembangan semasa termasuk kesan terhadap kekuatan parti di Selangor yang selama ini dianggap kubu kuat PKR.
Katanya, parti itu tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selain yakin dengan kekuatan akar umbi yakin dengan kekuatan akar umbi serta pengalaman panjang Pakatan Harapan membina sokongan rakyat.
“Apapun dinamika politik harus diteliti oleh semua pimpinan dan kita akan mengambil kira semua aspek dan tidak memandang semua itu dengan mudah baik, lawan kawan ataupun elemen baharu seperti parti yang disertai oleh saudara Rafizi dan Nik Nazmi.
“Kita akan lihat kesannya, namun pengalaman membangunkan parti ini bukan sesuatu yang mudah. Kita mempunyai jaringan, kekuatan akar umbi di samping pendekatan strategi yang tepat apabila tiba pilihan raya nanti,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama tindakan Rafizi dan Nik Nazmi akan memberikan kesan terhadap Selangor yang menjadi simpanan tetap atau kubu kuat PKR.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, semua pemimpin parti perlu terus bekerja keras dan tidak boleh terlalu selesa dengan kekuatan sedia ada selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Mengulas desakan akar umbi supaya Ahli Parlimen Ampang dan Petaling Jaya mengosongkan kerusi susulan kehadiran mereka pada program pengumuman Rafizi dan Nik Nazmi, beliau menegaskan, parti mempunyai pendirian tegas terhadap soal kesetiaan.
“Kalau ada yang mengambil langkah tidak lagi setia dengan parti ataupun bertindak merosakkan dan mengurangkan kekuatan parti, orang itu kena bertanggungjawab.
“Sebab parti ini yang menaikkan anda, memberikan ruangan untuk berkempen menjadi pimpinan dan letakkan pendirian yang betul dan bertanggungjawab serta bermaruah,” katanya.
Amirudin turut mengimbau insiden Sheraton Move yang mengajar pemimpin parti supaya membuat keputusan tegas ketika berdepan tekanan politik.
“Saya antara orang yang menjadi suspek ketika ‘Sheraton Move’ tetapi saya membuat keputusan yang berani dan tegas, kekal dengan parti.
“Parti ini ditubuhkan dengan semangat rakyat yang membara dan mengalami satu jalan yang panjang dan kita berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














