SHAH ALAM – Seorang suri rumah dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook (FB) tahun lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd. Halim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya ke atas Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan aplikasi iaitu akaun FB ‘Suhaila Halim’.
Hantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain itu dilihat di Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 8.30 pagi, 5 Januari tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab. Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Rushilan Gunalan dalam mitigasi memohon jaminan dikurangkan susulan Suhaila merupakan suri rumah dengan dia dan suaminya merupakan golongan B40 dengan mempunyai enam anak berusia dua hingga 13 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat MCMC sekali sebulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














