GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini hidup dalam kebimbangan apabila gajah liar kerap berkeliaran di kampung penempatan sehingga empat kali setiap bulan sejak dua tahun lalu.
Kejadian terbaharu berlaku pagi kelmarin apabila penduduk gempar melihat seekor gajah liar jantan menceroboh kawasan kampung ketika menghantar anak ke sekolah.
Seorang pembantu taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) RKT Kesedar Chalil, Nur Amelia Mohd Nor @ Hamzah, 30, berkongsi detik cemas apabila terserempak dengan gajah yang berkeliaran kira-kira pukul 6.58 pagi.
Katanya, dia ketika itu sedang menunggang motosikal menuju ke tabika sebelum waktu persekolahan bermula.
“Gajah terbabit hanya beberapa meter di depan saya yang sedang dalam perjalanan menuju ke Masjid Chalil dan di depan bangunan tabika.
“Saya yang terkejut sebelum terus memaklumkan kepada rakan yang tinggal di depan kawasan masjid dan menyekat beberapa penduduk untuk menghalang mereka daripada melalui jalan di kawasan masjid itu. Kejadian itu sangat mencemaskan dan penduduk dapat melihat dengan jelas pergerakan haiwan liar terbabit dari jauh,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Chalil di sini semalqm.
Seorang peneroka, Mohd. Sanusi Yunus, 67, berkata, kira-kira 300 pokok sawit miliknya telah dirosakkan gajah liar dalam tempoh dua tahun.
Katanya, kerosakan itu memberi kesan besar kepada pendapatan kerana hasil sawit merupakan sumber utama sara hidup mereka.
“Tanaman akan rosak setiap kali kawasan kampung diceroboh gajah. Kami tidak mampu untuk menanggung kerugian secara berterusan dan berharap operasi pemindahan gajah dapat dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Chalil, Hasan Saleh berkata, gangguan gajah liar sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu apabila haiwan itu kerap masuk ke kawasan ladang penduduk dan rumah penduduk kampung.
Katanya, hampir 200 peneroka mengalami kerugian apabila tanaman mereka musnah akibat serangan gajah liar.
“Masalah ancaman gajah sudah bermula sejak 2024 apabila gajah liar memusnahkan pokok sawit penduduk yang menjadi sumber pendapatan kami.
Bermula tahun ini, hampir empat kali dalam sebulan gajah muncul di kawasan kampung.
“Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan sudah ada operasi untuk menangkap gajah liar. Kami berharap tindakan segera untuk memindahkan gajah liar jantan yang sering berkeliaran itu dapat dilakukan,” katanya.














