PETALING JAYA – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengumumkan prestasi kewangan bagi suku pertama (S1) tahun 2026 dengan mencatat pendapatan sebanyak RM501.4 juta, naik 7.2 peratus suku ke suku (berbanding suku keempat 2025) dan pertumbuhan 7.3 peratus tahun ke tahun (berbanding suku pertama tahun 2025).
Kerugian sebelum cukai berkurangan sebanyak 79.7 peratus suku ke suku, dan 63.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada semua segmen, terutamanya segmen pos,
penerbangan dan segmen ‘lain’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Kumpulan
mencatat prestasi yang lebih berdaya tahan pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan
pendapatan merentas semua segmen, dengan sumbangan yang amat kukuh terutamanya
daripada segmen pos dan penerbangan, diperkukuh oleh inisiatif kawalan kos yang berterusan.
“Walaupun cabaran struktur kekal, terutamanya dalam segmen pos, kami mula melihat manfaat
daripada pengoptimuman rangkaian, pengurusan hasil yang lebih berdisiplin serta pendigitalan
yang lebih tersasar di bawah usaha transformasi kami yang berterusan.
“Fokus kami kini tertumpu sepenuhnya kepada mengekalkan disiplin operasi ini, meningkatkan kualiti pendapatan dan memastikan segmen pos kekal berdaya maju dalam jangka panjang, termasuk melalui
penglibatan konstruktif dalam pembaharuan Akta Perkhidmatan Pos serta pembiayaan bagi
melaksanakan Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO),” katanya dalam kenyataan.
Jelas Brewer, jumlah bungkusan dalam segmen pos telah meningkat sebanyak 24.6 peratus tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti e-dagang yang berterusan dan peningkatan bahagian pasaran, dengan pihak pengurusan terusmengutamakan peningkatan margin seiring dengan pertumbuhan volum.
Meskipun mencatat momentum positif, segmen ini masih berdepan cabaran struktur berikutan penurunan berterusan dalam jumlah mel tradisional, dan pengurangan kunjungan ke premis runcit disebabkan oleh
penggunaan digital yang semakin pesat.
Mengulas mengenai hala tuju kumpulan, beliau menerangkan, kumpulan kekal fokus untuk memberikan nilai, melalui pelaksanaan berterusan rangka kerja transformasi yang merangkumi rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan kos secara berdisiplin.
Persekitaran operasi dijangka terus mencabar di tengah-tengah tekanan struktur industri, dinamik persaingan, keperluan perubahan kawal selia serta ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan termasuk perkembangan di Timur Tengah yang mempengaruhi frekuensi penerbangan, kadar pengangkutan global, kos bahan api, dan volum kargo udara. -KOSMO! ONLINE














