PETALING JAYA – Salah seorang peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dari Malaysia iaitu Kapten Muhammad Shahrul Nizam atau dikenali sebagai CEO Kapal meminta semua yang terlibat dalam misi kali ini untuk terus membuat siaran langsung di media sosial masing-masing.
Katanya, ia bertujuan memperlihatkan kepada dunia betapa kejamnya tindakan rejim Zionis kerana menghalang misi kemanusian demi memerdekakan rakyat di Gaza.
“Yang mana ada tu, terus sahaja buat live (siaran langsung),” katanya menerusi siaran langsung di TikTok ketika ini.
Pakar maritim itu turut berkongsi keadaan kapal dinaikinya yang sedang bergoyang akibat laut bergelora ketika ini.
Sementara itu, Sumud Nusantara Officila dalam hantaran terbaharu berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di atas salah satu kapal peserta GSF 2.0.
“Rakaman CCTV menunjukkan anggota rejim Zionis telah naik ke atas salah satu kapal GSF dan menghalakan senjata ke arah aktivis kemanusiaan yang berada di atas kapal tersebut.
“Dunia kini menyaksikan bagaimana misi bantuan kemanusiaan berdepan ancaman dan tekanan ketika cuba membawa bantuan kepada rakyat Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














