SEREMBAN – Seorang Penolong Jualan Kanan kepada sebuah syarikat kedai emas terkenal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari atas pertuduhan mencuri sebentuk cincin emas dan seutas rantai tangan emas bernilai lebih RM8,000.
Tertuduh, Muhammad Zuhairi Khasful Anuar, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai Penolong Kanan Jualan Syarikat Habib Jewels Sdn. Bhd. telah mencuri sebentuk cincin emas dan seutas rantai tangan emas dengan nilai keseluruhan RM8,154.80 dalam milikan majikannya.
Kesalahan itu dilakukan di kedai emas syarikat itu di cawangan Nilai di sini pada 9 April dan 7 Mei lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd. Lajis memohon jaminan yang rendah dan munasabah serta memaklumkan tertuduh akan dijamin oleh ibunya yang merupakan suri rumah. – KOSMO! ONLINE














