PETALING JAYA – Seorang penduduk di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur bengang dengan sikap mat rempit didakwa menjadikan jalan raya persekitaran perumahan itu sebagai aktiviti lumba haram sekali gus menganggung ketenteraman penduduk.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna Thread MoonMJ, dia mendakwa kumpulan mat rempit tersebut dikatakan menjadikan jalan di kawasan itu sebagai litar lumba haram setiap kali malam hujung minggu, malah masalah itu pernah diadukan kepada pihak berkuasa.
“Mohon tularkan, kami penduduk Jalan Raja Muda Abdul Aziz dah hampir gila, mat rempit makin menjadi-jadi. Minta tolong kawan-kawan Facebook, tolong share (kongsi) dan panjangkan kiriman saya ni sampai ke pihak atasan.
“Kami penduduk di sekitar Jalan Raja Muda Abdul Aziz dah tak tahu nak mengadu dekat siapa lagi. Setiap kali malam hujung minggu, kawasan rumah kami bertukar jadi litar lumba haram. Bunyi bingit ekzos diorang ni bukan setakat bising biasa, tapi dah tahap menggegar jantung,” katanya.
MoonMJ mendakwa, penduduk turut melaporkan kepada pihak polis hampir setiap minggu, namun dikatakan mat rempit tersebut bersurai apabila ternampak kehadiran pihak berkuasa.
“Kami dah call (telefon) pihak polis hampir setiap minggu. Tapi faham-faham sajalah, bila polis datang diorang lari, polis balik diorang datang balik. Masalah tak pernah selesai.
“Kami penduduk dah pernah mohon untuk dibuat bonggol jalan, tapi dukacita ditolak atas alasan ini adalah jalan utama. Habis tu, keselamatan dan ketenteraman kami macam mana?,” luahnya.
Pemuda itu berkata, kawasan berkenaan juga berdekat dengan Hospital Kuala Lumpur serta Institut Jantung Negara.
“Pesakit-pesakit kat dalam tu perlukan ketenangan untuk sembuh, bukan bunyi ekzos macam nak runtuh langit. Paling menyedihkan dan buat kami sebak, baru-baru ni, ada seorang ibu baru sangat lepas bersalin dan masih dalam fasa berpantang.
“Bayangkan, dalam keadaan badan belum sembuh pukul 2 pagi, terpaksa turun ke jalan hanya berkain batik, semata-mata nak merayu pada mat-mat rempit ni supaya bersurai sebab anak kecil dia menangis trauma terkejut bunyi bising. Di mana ihsan korang. Kami dah penat. Kami dah stres.
“Kami pun pembayar cukai, penat sepanjang minggu dengan kerja, sekolah anak-anak. Kami berhak dapat tidur yang aman di rumah sendiri. Saya mohon sangat pihak yang berkaitan, tolonglah ambil tindakan lebih drastik. Jangan sampai ada nyawa melayang baru semua pihak nak buka mata,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














