KOTA BHARU – Seorang ustazah yang dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum merempuh pelajar hingga maut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini bulan lalu masih belum didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
“Buat masa ini, guru wanita tersebut masih belum didakwa dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang guru Pendidikan Islam berusia 57 tahun direman dua hari sejak 14 April lalu bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan maut dirempuh di hadapan surau SMK Tanjong Mas.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan luluh hati seorang bapa melihat anaknya dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah SUV Honda HR-V di dalam kawasan sekolah pada 12 April lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu SUV yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas dan merempuh mangsa.
Siasatan turut mendapati, pemandu Honda HR-V itu terlanggar dua pelajar perempuan, namun seorang daripada meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE














