PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya/Putra Heights sekali lagi mengalami gangguan teknikal pada waktu puncak hari ini.
Difahamkan, satu platform mengalami masalah bermula di Ara Damansara menyebabkan hanya satu platform digunakan untuk dua laluan Putra Height dan Gombak secara bergilir-gilir.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Emeirfaizal, dia mempersoalkan mengapa laluan tersebut seolah-olah kerap mengalami masalah berbanding laluan lain.
“Persoalannya, kenapa LRT laluan Kelana Jaya selalu rosak dan ada masalah? LRT laluan Sri Petaling pula jarang ada masalah. Kenapa ya?” katanya.
Situasi tersebut turut disokong oleh beberapa pengguna lain yang terkandas di stesen berbeza ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Aku turun awal pukul 6 (pagi) lebih! Boleh pula tersangkut dekat Stesen Masjid Jamek,” kongsi Dininasuhamran.
Menurut Najwaforshort, dia turut berasa kesal dengan kekerapan gangguan yang didakwa semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Kenapa semakin teruk ini? Setiap minggu pula ada gangguan sekarang,” ujarnya.
“Dah kata, setiap Isnin mesti tren ‘Monday blues’,” kata Hfznizar.
Seorang pengguna dikenali sebagai Alin memaklumkan, dia terpaksa menukar tiga kali tren seperti menaiki bas henti-henti untuk sampai ke Stesen Universiti dari Stesen Alam Megah. – KOSMO! ONLINE














