Jenama Maggi di bawah Nestle bukan sahaja terkenal sebagai produk makanan popular dalam kalangan warga Malaysia tetapi ia juga memainkan peranan yang penting dalam membantu komuniti khususnya usahawan wanita melalui program Maggi Wanita Cukup Berani (WCB).
Melalui program tersebut yang kini telah memasuki musim ke empat tahun ini, telah berjaya memperkasa lebih daripada 10,000 wanita yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan sekali gus mengubah daya pemikiran dan taraf pendapatan kumpulan tersebut.
Dalam menjayakan program tersebut, mentor program berkenaan memainkan peranan yang penting dalam menjayakan setiap aktiviti yang dianjurkan malah mentor ini juga berasa dekat bersama peserta membimbing mereka khususnya dalam aspek membina keyakinan, pengetahuan dan bertindak sebagai jurulatih yang akan membantu mereka secara mental dan fizikal.
Bagi musim keempat WCB, Wan Allena Abdullah adalah mentor berpengalaman yang akan membantu individu menampilkan diri dengan keyakinan dan lebih jelas dengan arah hidup mereka, selain memperkasakan wanita untuk membina identiti diri yang teguh, membangunkan jenama peribadi dan berkomunikasi dengan yakin.
“Sebagai fasilitator, perunding dan jurulatih, saya memahami cabaran yang sering dihadapi wanita hari ini dan sentiasa menggalakkan mereka untuk berani melangkah ke hadapan serta merebut peluang,” katanya dalam temubual secara emel baru-baru ini.
Program Maggi WCB musim keempat ini sedang dibuka untuk penyertaan dan wanita yang berminat digalakkan untuk menghantar idea perniagaan sebelum 31 Mei ini.
Melalui program ini, peserta akan diberikan dana permulaan sebagai modal untuk memulakan perniagaan, selain itu, mereka juga dapat latihan dan bimbingan daripada mentor serta pakar dalam membantu mereka meningkatkan pengetahuan, pengalaman dalam bidang keusahawanan serta pembangunan keyakinan diri.
KOSMO!: Puan telah bekerjasama dengan ramai usahawan wanita di seluruh Malaysia, terutamanya daripada komuniti B40. Boleh puan jelaskan tentang kekuatan mereka untuk mengejar cita-cita dan impian mereka?
WAN ALEENA: Berdasarkan pengalaman saya bekerja dengan wanita dalam komuniti B40, keupayaan jarang menjadi masalah kepada mereka kerana kumpulan ini begitu cekal dan cekap dalam mengurus rumah tangga, malah ada yang sudah menjalankan perniagaan kecil secara tidak formal.
Halangan sebenar adalah keyakinan diri dan kesedaran tentang nilai diri. Ramai yang tidak menganggap diri sebagai usahawan, walaupun mereka sudah pun melakukan kerja- kerja keusahawanan tersebut.
Sehubungan itu, keyakinan menjadi titik perubahan dan apabila mereka mula percaya pada kebolehan diri, mereka akan tampil berbeza, meletakkan harga yang lebih berpatutan, berkomunikasi dengan jelas dan lebih berani untuk merebut peluang.
Saya pernah melihat transformasi ini melalui satu inisiatif katering oleh wanita pelarian yang mempunyai kemahiran memasak yang hebat tetapi tidak mempunyai keyakinan diri.
Dengan latihan dan sokongan yang betul, mereka mampu menjana pendapatan dan keyakinan diri mereka kembali terbina. Ini adalah bukti bahawa kemampuan selalunya sudah sedia ada dan keyakinan hanyalah pemangkin yang menghidupkan potensi tersebut.
Puan melihat faktor latihan yang berulang kali seperti pembentangan idea, penceritaan akan membawa wanita-wanita ini lebih ke hadapan. Apakah transformasi yang telah puan saksikan sendiri apabila wanita mula mempraktikkan kemahiran ini secara konsisten?
Keyakinan tidak hadir dalam sekelip mata, tetapi terbina melalui pengulangan dan latihan yang konsisten. Saya sendiri pernah berasa cemas sebelum pembentangan, namun usaha berterusan dan proses pembelajaran akhirnya membuahkan keyakinan dan keberanian.
Dengan memberi tumpuan kepada pemahaman mesej, bukan sekadar menghafal serta melalui pendedahan berulang kali, saya mula rasa lebih tenang dan selesa di atas pentas.
Konsistensi bukan sahaja mengubah cara seseorang membawa diri, tetapi juga memberi kesan positif kepada perniagaan dan kehidupan mereka.
Sebagai mentor Maggi WCB musim ke-4, apakah keunikan program ini dan bagaimana ia mengubah cara usahawan wanita, terutamanya dalam komuniti B40, membina keyakinan dan mengembangkan perniagaan mereka secara bermakna?
Program ini memiliki impaknya kerana ia melangkaui sekadar kemahiran dengan membina keupayaan dan keyakinan secara mudah difahami dan diakses. Modul dalam talian sangat memberi hasil, membolehkan wanita belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sekali gus mengurangkan halangan utama bagi komuniti B40.
Melalui siri jelajah Maggi WCB musim ke-4, transformasi ini jelas terlihat apabila wanita awalnya segan dan kurang yakin, menjadi lebih terbuka, berani dan yakin.
“Program ini bukan sahaja melengkapkan mereka dengan kemahiran perniagaan, tetapi juga membantu mereka mengenali potensi diri dan menjadi penyumbang ekonomi yang berwibawa.
“Ia membantu wanita menyedari bahawa mereka sebenarnya sudah memiliki keupayaan yang lebih besar daripada apa yang mereka bayangkan,” katanya dalam temubual secara emel baru-baru ini.
Apakah pendapat puan tentang peranan usahawan wanita dalam menyumbang usaha mereka dalam pembangunan ekonomi negara?
Apabila wanita memperoleh keyakinan dan lebih menonjol dalam apa yang mereka lakukan, impaknya melangkaui individu. Mereka dapat mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan, dan menyumbang kepada komuniti serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif. Ini adalah kesan rantaian kerana wanita akan melabur semula untuk keluarga dan memberi inspirasi kepada orang lain.
Satu contoh yang sentiasa saya ingati adalah seorang wanita suku kaum Temuan dari Ulu Yam yang dikenali sebagai Sila, ketika kami mula-mula bertemu, beliau bercita-cita membuka kafe kecil, bukan sekadar untuk pendapatan, juga untuk menyumbang kembali kepada sekolah komuniti beliau. Melalui sokongan, bimbingan, dan keazaman, beliau berjaya merealisasikannya.
Perniagaannya membuka peluang, membina kebanggaan dan menyokong masa hadapan komuniti. Inilah kesan pengganda apabila wanita bangkit, mereka tidak bangkit sendirian.
Pada pendapat puan, kenapa wanita perlu menyertai MAGGI WCB sekarang dan mengapakah mereka perlu menghantar idea perniagaan?
Peluang seperti ini bukan sahaja memberi ilmu, malah ia mencipta momentum.
Ramai sudah mempunyai idea tetapi kekurangan struktur, sokongan, dan keyakinan, program ini menggabungkan ketiga-tiganya sekali.
Melalui program MAGGI WCB musim ke-4, wanita didedahkan dengan kemahiran penjenamaan hingga asas perniagaan serta bimbingan untuk melihat potensi diri daripada perspektif baharu.
Menghantar idea perniagaan adalah langkah berani yang mengubah pemikiran kepada tindakan.
Dengan latihan praktikal, bimbingan mentor, bantuan dana dan rangkaian komuniti, mereka bermula dengan asas yang kukuh. Keyakinan datang melalui tindakan, dan program ini menyediakan platform itu. -KOSMO! ONLINE














