PETALING JAYA – Politik negara perlu kembali berteraskan khidmat kepada rakyat dan bukannya sekadar perebutan kuasa atau jawatan semata-mata.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rakyat terutama golongan muda kini semakin hilang keyakinan terhadap kemampuan politik untuk membawa perubahan sebenar kepada negara.
“Politik tidak boleh sekadar menjadi perebutan kuasa, jawatan dan survival kelompok tertentu. Ia mesti kembali kepada asas iaitu politik untuk khidmat, bukan pangkat.
“Hari ini ramai rakyat, lebih-lebih lagi anak muda, semakin hilang keyakinan bahawa politik mampu membawa perubahan sebenar. Itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, Malaysia memerlukan pendekatan politik yang lebih jujur, berani serta berprinsip demi membina masa depan negara yang lebih baik.
“Malaysia perlukan politik yang lebih jujur, lebih berani dan lebih berprinsip. Politik yang memberi harapan, bukan ketakutan. Politik yang membina masa depan, bukan sekadar mengitar semula nostalgia lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa dirinya bersama Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil alih Parti Bersama Malaysia hasil persetujuan dan ihsan presidennya, Tan Gin Theam.
“Perjalanan ini bukan mudah. Tetapi sejarah tidak pernah dibentuk oleh mereka yang menunggu keadaan menjadi mudah. Ia dibentuk oleh mereka yang berani memulakan sesuatu ketika ramai sudah berhenti percaya.
“Ini baru permulaan. Parti Bersama Malaysia, kita memajukan Malaysia ke arah kesaksamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














