JOHOR BAHRU – Golongan penternak di negeri ini mengakui mereka terpaksa menaikkan caj penghantaran haiwan korban tahun ini susulan kenaikan harga petrol dan makanan ternakan.
Walaupun terdapat peningkatan kos operasi, rata-rata mereka bagaimanapun masih mengekalkan harga ternakan itu sempena perayaan Aidiladha minggu hadapan bagi mengelakkan para pelanggan terus terbeban.
Seorang penternak dari Kota Tinggi, Abd. Aziz Daud berkata, harga haiwan korban pada tahun ini masih kekal kerana kebanyakan lembu yang dijual diternak sendiri, bukannya diimport dari luar negara.
Katanya, isu kenaikan harga lembu tidak timbul kerana bekalan ternakan masih mencukupi, namun kos penghantaran terpaksa diselaraskan mengikut harga semasa diesel di pasaran.
“Lembu-lembu ini saya bela sendiri, bukannya diambil dari Thailand atau negara lain. Jadi tidak timbul isu harga naik. Cuma kos diesel meningkat dan (caj) kita kenakan kepada pembeli pada tahun ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Abd. Aziz berkata, harga lembu korban adalah RM5,500 hingga RM7,000 seekor bergantung kepada saiz haiwan tersebut.
Sementara itu, penternak dari Pontian, Mashudi Duki, 61, memberitahu, permintaan terhadap lembu korban pada tahun ini masih menggalakkan walaupun berlaku perang di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos pengangkutan dan makanan ternakan.
Menurut lelaki itu, harga korban secara berkelompok masih kekal iaitu RM850 hingga RM900 satu bahagian atau RM5,950 hingga RM6,300 seekor bergantung kepada saiz haiwan.
“Setakat ini saya menerima tempahan kira-kira 40 ekor lembu dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 70 ekor menjelang seminggu sebelum Aidiladha,” katanya ketika ditemui di AAZ Agro Farm di Kampung Haji Ashari, Telok Kerang.
Mashudi turut menjual lembu baka Brahman dan lembu sado seperti Charolais dan Limousin yang berharga mencecah RM12,000 seekor selain menyediakan perkhidmatan penyembelihan kepada pelanggan.
Dalam pada itu, seorang lagi penternak, Zamallualil Shawal pula berkata, dia menerima tempahan tinggi setiap kali musim korban dan setakat minggu ini jumlahnya adalah 170 ekor dengan sasaran sebanyak 300 ekor lembu pada tahun ini.














