fbpx
Muhammad Kamil

AMK gesa siasat dakwaan dana asing kait propaganda politik, operasi siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh atas dakwaan penyaluran dana asing dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan di negara ini.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu tidak boleh dipandang sebagai polemik politik biasa kerana melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi negara.

Katanya, laporan yang tersebar ketika ini mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation kepada syarikat tempatan Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. (Mandiri).

Katanya, transaksi tersebut didakwa melibatkan tiga pembayaran keseluruhan lebih RM1.5 juta antara November 2024 dan Jun 2025.

“Maklumat itu juga mendakwa sepanjang 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat terhadap Amir Hariri Abd. Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan Mandiri.

“Dana itu turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia merupakan sesuatu yang berbahaya kerana Malaysia tidak boleh dijadikan medan eksperimen geopolitik kuasa asing melalui proksi tempatan.

Tambahnya, campur tangan sedemikian bukan sahaja boleh menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, AMK mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan bebas dan terperinci terhadap semua pihak yang dikaitkan dalam pendedahan tersebut tanpa mengira latar belakang politik.

Menurut Kamil, sebarang pelanggaran undang-undang perlu dikenakan tindakan tegas termasuk di bawah Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) serta Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik.

“Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh. Sebarang usaha bagi tujuan menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing dan manipulasi politik secara tersusun mesti dihentikan segera.

“Rakyat Malaysia sewajarnya diberikan penjelasan tuntas, manakala tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil segera bagi membuktikan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan oleh mana-mana pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN