BANGKOK — Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 35 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta api barang dan sebuah bas di ibu negara Thailand hari ini, kata polis seperti laporan akhbar South China Morning Post.
Anggota bomba dan penyelamat berkumpul di lokasi kejadian, sementara pegawai penyiasat dilihat memeriksa rangka bas yang rentung.
Orang ramai diarah menjauhkan diri dari persimpangan sibuk di pusat bandar itu, yang digunakan oleh puluhan ribu kenderaan setiap hari.
“Lapan orang disahkan maut dan 35 lagi cedera,” kata Ketua Polis Bangkok, Urumporn Koondejsumrit.
Nahas berlaku pada awal tengah hari.
Imej tular di media sosial menunjukkan kereta api tersebut menghampiri lintasan rata dengan kelajuan sederhana sebelum merempuh bas yang kemudiannya meletup dan terbakar.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kami kini berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa,” kata Urumporn.
“Saya tidak berani menoleh ke belakang untuk melihat sama ada ada mangsa yang terkorban,” kata seorang saksi yang berada berhampiran persimpangan itu bersama anak perempuannya kepada badan penyiar tempatan, Thai PBS, pula.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung insiden tersebut.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut kerap berlaku di Thailand, negara yang kerap menduduki carta teratas antara jalan raya paling berbahaya di dunia.
Antara faktor penyumbang utama kemalangan termasuk memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol di samping penguatkuasaan undang-undang yang lemah. – AGENSI














