JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) adalah selari dengan kehendak akar umbi parti.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persetujuan itu dapat dilihat menerusi maklum balas diterima sepanjang siri penaziran dan program turun padang di pelbagai kawasan di Johor sejak empat bulan lalu.
“Semasa saya membuat penaziran dan turun padang di banyak kawasan di Johor dalam tempoh empat bulan serta menghadiri pelbagai program parti UMNO, itulah juga kehendak pimpinan akar umbi di bahagian-bahagian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Johor sememangnya merupakan kubu kuat UMNO dan BN sejak sekian lama.
Malah katanya, ini dibuktikan menerusi kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN Johor pada 2022.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera lima peringkat UMNO merangkumi bahagian, cawangan, wanita, pemuda, puteri dan veteran supaya terus mendekati rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Katanya, semangat Bangsa Johor dan kepelbagaian masyarakat perlu terus diraikan sebagai kekuatan utama negeri tersebut.
“Kita adalah Bangsa Johor. Kepelbagaian itu suatu kekuatan yang kita raikan, yang kita bersama bangunkan dan itulah juga teras perjuangan BN selama ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














