KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ ketika menyertai konvoi motosikal di Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE), baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan video tular menerusi aplikasi Threads pada semalam yang memaparkan dua lelaki tempatan melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 9 Mei lalu kira-kira pukul 11 pagi di Lebuh Raya SPE dari arah pusat bandar menghala ke Putrajaya.
“Aksi berbahaya itu dipercayai dilakukan penunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard 950 berwarna merah dan Ducati Panigale berwarna hitam.
“Rakaman tersebut dimuat naik sendiri oleh pengguna aplikasi Threads menggunakan akaun ‘muhdtaufik53’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas risikan dan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan serta menahan dua lelaki Melayu berusia 31 dan 36 tahun pada pukul 6 pagi semalam.
“Turut dirampas sebuah motosikal bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
Katanya, antara tindakan diambil termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian, merakam percakapan suspek, dokumentasi motosikal terlibat serta permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari ini dan permohonan reman dibenarkan selama sehari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Mohd. Zamzuri berkata, pihaknya memandang serius tindakan pengguna jalan raya yang melakukan aksi berbahaya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE














