fbpx
HAIDAR bersama marble fox peliharaannya, Kairo di premis Bulan Bintang cawangan Pulau Pinang di Bukit Mertajam. – Foto DANIAL SAAD

‘Anjing’ versi halal untuk dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Awalnya pemuda itu ingin membela rakun, namun selepas melihat video perkongsian tentang marble fox atau rubah di laman sosial TikTok, dia terus tertarik dan memutuskan untuk memiliki haiwan berkenaan.

Tanpa memilih warna tertentu, pemuda itu hanya menunggu spesies yang dihantar. Tidak disangka, mereka menerima seekor red marble fox yang agak jarang ditemui, lalu menamakannya Kairo.

Bagi pemilik butik jenama Bulan Bintang cawangan Pulau Pinang, Haidar Abdul Jalil, 30, membela marble fox memberikannya satu pengalaman baharu dan memenuhi kehendak kecil di hatinya yang ingin memiliki haiwan peliharaan seakan anjing.

“Sejak kecil, saya biasa membela kucing termasuk baka Persian cat. Namun, marble fox memberi pengalaman yang lebih mencabar kerana sifatnya sebagai haiwan pemburu.

“Walaupun jinak, ia mempunyai naluri memburu, lebih aktif dan gemar meneroka. Itulah yang membuatkan banyak pemilik termasuk saya berasa terhibur melihat gelagatnya, terutama ketika bermain atau melompat ke arah objek dengan strategi tersendiri,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa menerusi panggilan telefon baru-baru ini.

Tambah Haidar yang turut berkongsi keletah Kairo di media sosial menerusi akaun Kairo Marble Fox, salah satu faktor yang menarik perhatian ramai ialah rupa marble fox yang sering disalah anggap sebagai anjing.

Badannya panjang, kaki sedikit menyerupai anjing, tetapi mukanya jelas seperti rubah. Bulu tebal pula menjadikannya seakan mini husky.

Kongsi Haidar, orang sekeliling pada awalnya tertanya-tanya, tetapi selepas melihat sendiri, mereka faham ia bukan anjing kerana tidak menyalak dan gerak tubuhnya juga sangat berbeza.

Katanya lagi, penjagaan marble fox sebenarnya tidak terlalu rumit, tetapi memerlukan ilmu. Pemilik perlu memahami bahawa itu haiwan nokturnal.

“Waktu paling aktif biasanya awal pagi sebelum matahari naik dan sekitar senja. Kairo, misalnya, akan bangun pada waktu subuh, bermain selama hampir dua jam, makan, kemudian tidur hampir sepanjang siang.

“Apabila maghrib, ia kembali aktif dan boleh bermain sehingga lewat malam sebelum berehat semula,” ujarnya yang membeli marble fox di BHReptiles.

Marble fox bukan spesies rubah liar yang wujud secara semula jadi di hutan atau kawasan tertentu.

Ia sebenarnya variasi warna hasil pembiakan terpilih manusia daripada red fox iaitu rubah merah yang merupakan salah satu spesies rubah paling meluas di dunia.

Asal usul marble fox bermula sekitar pertengahan abad ke-20 apabila penternak bulu di Kanada menemui mutasi genetik semula jadi pada rubah merah yang menghasilkan bulu bercorak putih dengan tompokan hitam atau kelabu. Corak ini menyerupai urat batu marmar, lalu diberi nama ‘marble fox’.

HAIDAR bersama isterinya membelai Kairo.

Pada mulanya, ia dibiakkan untuk industri bulu kerana coraknya dianggap lebih eksklusif berbanding rubah biasa.

Industri penternakan bulu di kawasan seperti Prince Edward Island dan beberapa wilayah sejuk di Kanada menjadi antara tempat awal pembiakannya.

Selepas itu, penternak di negara lain termasuk Russia turut membangunkan variasi warna lain melalui pembiakan terkawal.

Marble fox bukan kacukan antara rubah dengan anjing atau serigala. Itu salah faham yang kerap berlaku.

Ia masih 100 peratus rubah merah, cuma mempunyai mutasi warna bulu (coat color morph), sama seperti kucing yang ada variasi calico atau silver.

Di Malaysia, minat terhadap marble fox meningkat beberapa tahun kebelakangan ini selepas video pemilik tempatan di TikTok dan Instagram menjadi tular.

Ramai tertarik kerana rupanya seperti anjing jenis Siberian husky, tetapi saiz lebih kecil dan penampilan lebih eksotik.

Menjadi antara individu yang memperkenalkan marble fox dalam pasaran tempatan, Nur Nina Farisha Woo dari BHReptiles menjelaskan, permintaan marble fox di Malaysia melonjak selepas penceritaan mengenai haiwan itu tular.

Katanya, majoriti pelanggan datang daripada orang Melayu dan ramai yang selama ini meminati anjing dari segi karakter dan interaksi, tetapi mencari pilihan yang sesuai dengan pegangan agama.

“Marble fox menjadi alternatif dan sebagai rubah, ia tetap tergolong dalam keluarga kanin bersama musang, serigala dan anjing, namun statusnya berbeza dalam konteks hukum dan persepsi masyarakat.

“Dengan rupa seakan gabungan husky, serigala dan rubah liar, ia menimbulkan rasa ingin tahu ramai, terutama mereka yang selama ini meminati haiwan keluarga kanin tetapi mahukan pilihan selain anjing,” kongsi Nina yang juga menawarkan khidmat zoo mini di bawah jenama Zoo2u by Brotherhood Reptiles, exotic mobile petting zoo.

Tambahnya, dalam masa singkat, marble fox berubah daripada haiwan yang hampir tidak dikenali kepada antara haiwan eksotik paling dicari oleh penggemar tempatan.

Berkongsi tentang diet, marble fox bersifat omnivor. Ia boleh makan makanan kering seperti kucing atau anjing, tetapi ramai pemilik menambah daging rebus, buah-buahan dan snek tertentu.

Haidar misalnya menyediakan kibble sepanjang masa dengan bekas automatik yang diisi seminggu sekali. Selain itu, Kairo diberi daging rebus beberapa kali sehari.

Sebagaimana yang dikongsi Haidar, salah satu cara paling mudah mengenal pasti kesihatan marble fox ialah melalui najis: jika keras, pemakanan seimbang; jika lembut, ia petanda nutrisi tidak mencukupi.

Suhu persekitaran juga memainkan peranan besar. Walaupun marble fox sudah boleh menyesuaikan diri dengan cuaca tropika, habitat asal baka induknya dari kawasan sejuk menyebabkan bulu lebih cantik jika dipelihara di tempat berhawa dingin.

NINA menyifatkan marble fox merupakan haiwan yang perlukan perhatian, sentuhan dan latihan konsisten.

Kata Nur Nina, oleh sebab itu pemilik sebaiknya menyediakan bilik khas lengkap dengan pendingin hawa. Jika tidak, ia masih boleh hidup normal di suhu bilik, cuma bulu tidak selebat dan segebu seperti dalam video-video tular.

“Kos menjadi faktor yang membuat haiwan ini kekal eksklusif. Harga seekor anak marble fox sekitar dua bulan boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000 bergantung corak dan warna.

“Red marble fox biasanya lebih mahal kerana ‘rare’. Penjagaan bulanan pula dianggarkan sekitar RM500 atau kurang, termasuk makanan, pasir, mainan serta keperluan dandanan,” tambahnya.

Apa yang membuatkan marble fox berbeza daripada haiwan peliharaan lain ialah keperluan emosi. Ia tidak akan benar-benar jinak jika kurang berinteraksi dengan pemilik.

Nur Nina menjelaskan, haiwan ini perlukan perhatian, sentuhan dan latihan konsisten. Jika dibela seperti sekadar haiwan dalam sangkar, ia boleh menjadi takut atau trauma.

Namun jika diberi masa bonding, ia boleh dilatih mengejar bola, menggunakan pasir untuk membuang najis dan mengenali rutin keluarga.

“Di sebalik trend ini, pemilik perlu tahu bahawa marble fox bukan sekadar haiwan comel untuk content, tetapi ia haiwan pintar dengan naluri kuat.

“Mereka yang mahu membela perlu bersedia dari segi ruang, masa dan komitmen. Tanpa persediaan, haiwan ini mudah stres dan merosakkan barang di rumah kerana sifat ingin tahu serta kebiasaan menggigit objek,” jelas Nina.

Katanya, buat masa ini, trend marble fox dilihat sedang melalui fasa sama seperti kucing Bengal atau fennec fox suatu ketika dahulu, bermula sebagai haiwan eksotik mahal, kemudian perlahan-lahan menjadi lebih dikenali.

Sama ada akan benar-benar menjadi haiwan peliharaan arus perdana di Malaysia masih belum pasti, namun ada satu perkara jelas.

Marble fox telah membuka babak baharu dalam dunia haiwan eksotik tempatan, dengan penggemarnya sanggup berbelanja besar demi seekor teman berbulu yang unik, cerdas dan sukar diabaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN