LUMUT – Penemuan empat mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di perairan Pulau Pangkor pada waktu petang dan malam semalam menjadikan jumlah mangsa maut akibat bot karam Isnin lalu meningkat kepada 16 orang.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, ia sekali gus melebihi jumlah mangsa asal yang dilaporkan iaitu seramai 14 warga Indonesia.
Beliau berkata, dua mayat lelaki ditemui pada pukul 5.45 petang di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh manakala satu lagi mayat lelaki ditemui pada pukul 7.20 malam (2 batu nautika barat daya Pulau Buloh.
“Ia ditemui oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Handalan. Aset FCB 1030 diatur gerak mengambil mayat dan ia tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kg. Acheh pada pukul 8.40 malam,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, katanya, satu lagi mayat disyaki perempuan ditemui pada pukul 8.43 malam di kedudukan 21.4 barat daya Pulau Sangga Kecil oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan aset Perkasa 1238.
“Mayat dibawa di Jeti PPM Kuala Kurau pada pukul 10.10 malam,” katanya yang turut memaklumkan operasi akan diteruskan hari ini.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai sebuah bot disyaki membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang lelaki dan tujuh orang perempuan.
Jumlah mangsa yang ditemui setakat 2.35 petang semalam adalah seramai 12 orang, namun penemuan empat lagi mayat di perairan Pulau Pangkor tersebut menjadikan seramai 16 orang maut akibat kejadian bot karam itu. – KOSMO! ONLINE














