KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit apabila menerima lebih 20 jahitan pada belakang badannya selepas digigit seekor kera dalam kejadian di Kampung Padang Lengkuas, Peringat di sini pada Jumaat minggu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Bilal Munzir Mohd. Firdaus, 2, luka pada belakang badan sebelum dihantar untuk rawatan lanjut ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Ibu mangsa, Siti Atikah Mohd. Yakzan, 36, berkata, Muhammad Bilal yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah dibenarkan pulang pada Selasa lalu selepas belakang badannya dijahit dengan 20 jahitan.
Menceritakan semula kejadian itu, katanya, dia berada di dapur sebelum anak keduanya berusia enam tahun berlari dan memaklumkan seekor kera menerkam Muhammad Bilal yang sedang menonton televisyen.
Menurutnya, dia bergegas ke ruang tamu dan melihat seekor kera sedang menggigit belakang anaknya sebelum bertindak menghalau haiwan itu.
“Kera itu mungkin memasuki rumah saya melalui jendela yang terbuka. Selepas berjaya menyelamatkan Muhammad Bilal, kera itu menuju ke dapur untuk mencari makanan.
“Saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menangkap kera itu, namun haiwan itu sempat keluar dan melarikan diri melalui jendela,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Siti Atikah memberitahu, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara juga sudah datang ke rumahnya untuk membuat tangkapan haiwan tersebut, namun gagal kerana ia tidak munculkan diri semasa pihak berkuasa hadir.
Menurutnya, dia percaya kera itu keluar dari kawasan hutan bersebelahan rumahnya dan berkemungkinan lapar sehingga bertindak menyerang menyerang Muhammad Bilal. – KOSMO! ONLINE














