JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar sebatang pokok mati yang tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke bandar raya ini berhampiran Megah Ria, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.06 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Brad Fischhetti Anak Kijam, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Tinggi II Nazarudin Yusof berkata, sebuah jentera FRT bersama enam anggota tiba di tempat kejadian pada pukul 4.13 pagi.
“Terdapat pokok mati sepanjang satu meter tumbang atas jalan raya sebelum dilanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayat pemuda itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Anggota bomba memotong dan mengalihkan pokok di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














