fbpx
Antara ikan senangin yang membedal mikro jig.

Santai memancing di Teluk Renjuna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Biasanya, setelah mengambil bekalan umpan udang hidup, kami terus bergerak ke jeti yang terletak di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Dari sini, perjalanan ke lokasi memancing di Teluk Renjuna mengambil masa kira-kira 25 minit. Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami akan melabuhkan sauh dan terus bersiap untuk memancing.

Sedang kami leka berbual sambil menunggu ikan menggetu umpan, tiba-tiba salah satu joran milik Muiz direntap kuat. Dia dengan pantas menyambar jorannya yang sudah melentur, lalu mengetatkan sedikit drag dan mengepam jorannya.

Tidak lama kemudian, seekor ikan pari bersaiz hidangan menjadi habuannya.

Ingatkan ada lagi ikan akan mengambil umpan, namun keadaan menjadi sunyi berjam-jam lamanya, mungkin ikan-ikan lain cabut lari akibat suasana kecoh tadi.

Kami bertukar lokasi berhampiran dengan satu sangkar ikan. Di sini, kami layan ikan gelama pula. Walaupun saiz ikan yang diperoleh kecil, tetapi jumlahnya banyak dan tetap memberikan kepuasan.

Ikan pari yang Muiz dapat ketika trip pertama.

Kami menamatkan sesi pancingan sebaik azan asar berkumandang.

Trip kedua
Beberapa hari kemudian, Dr. Faris bersama rakannya, Dr. Faliq sekali lagi turun ke Teluk Renjuna. Awal pagi, mereka berdua tiba di lokasi. Tanpa membuang masa, umpan udang hidup segera dilabuhkan.

Apabila umpan tidak bersahut, mereka berdua beralih kepada teknik jigging dengan menggunakan mikro jig saiz bawah 10 gram.

Pelbagai teknik henjutan jig dilakukan dan akhirnya jig Dr. Faliq disambar. Berdasarkan lengkungan jorannya, disyaki ikan di hujung tali bersaiz kasar.

Benar seperti telahan, seekor ikan talang berjaya digancu naik ke bot.

Tidak terhenti di situ, teknik jigging mikro jig yang digunakan itu turut berjaya menaikkan beberapa ekor ikan senangin bersaiz hidangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN