KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang dicekup khalwat buat kali kedua sewaktu dalam tempoh bertunang awal tahun ini masing-masing dikenakan tiga sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah memerintahkan hukuman sebat ke atas pembantu kedai makan dan barista itu dilaksanakan dalam Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun ini selepas tempoh 14 hari rayuan berakhir.
Sebelum ini, Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha yang melangsungkan pernikahan pada 26 April lalu masing-masing pernah didenda RM2,600 dan RM2,500 atas kesalahan khalwat kali pertama oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei 2025.
Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan kerana kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak serik melakukan maksiat dalam tempoh bertunang biarpun telah dihukum atas kesalahan sama sebelum ini.
“Kamu berdua tidak ambil peluang untuk insaf dengan berkahwin sewaktu ditangkap pada kesalahan (khalwat) pertama dengan alasan tidak cukup duit, tetapi tetap melakukan melakukan perkara sama,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha didakwa sebagai pasangan bukan mahram di dalam sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang membawa hukuman maksimum enam sebatan atau penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














