PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Puteh memohon maaf atas kekhilafannya mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berkaitan para sahabat dalam satu sesi ceramah sebelum ini.
Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Jelasnya, tujuan asal kenyataannya itu hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,”tulisnya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau.mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadinya.
“Ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.-KOSMO! ONLINE














