PETALING JAYA – “Hari ini (baru-baru ini) dalam sejarah, benda yang selalu digembar-gemburkan bila main dengan sumpah jadi depan mata,” demikian perkongsian seorang peguam syarie, Iezwan Ielias menerusi Threads mengenai satu kes di mahkamah syariah.
Menurut beliau, kes tersebut melibatkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan seorang isteri terhadap suaminya selepas didakwa berlaku beberapa siri lafaz taklik, cerai dan cerai kinayah.
Katanya, gara-gara sumpah yang dibuat seorang suami yang bersungguh-sungguh menafikan dakwaan seorang isteri ke atasnya, lelaki itu akhirnya terlantar di zon kritikal ketika ini.
Beliau memberitahu, kejadian itu berpunca daripada pertikaian rumah tangga selepas isteri mempersoalkan tindakan suami yang didakwa menghantar mesej tidak senonoh kepada beberapa wanita lain.
“Si isteri tak puas hati, dia minta aku uruskan fail pengesahan lafaz cerai ke mahkamah. Kali pertama sebutan, dia (suami) sengaja tak nak hadir. Defendan beritahu dia ada urusan tak dapat datang. Mahkamah masih bagi peluang, sebab sebelum tu isteri baru je serahkan saman dan penyata tuntutan sehari sebelum hari kes.
“Jadi mahkamah bagilah tarikh hari sebutan kedua dalam dua minggu lebih dari tarikh pertama. Tarikh kedua pun sampai, defendan masih tak nak hadir. Mahkamah pun benarkan aku mula ambil keterangan lisan daripada plaintif dan ikatan dokumen yang dah dilampirkan awal. Mahkamah keluarkan notis amaran dan defendan kena hadir tarikh ketiga nanti,” katanya.
Bercerita lanjut, Iezwan berkata, pada tarikh sebutan ketiga, plaintif merayu agar defendan hadir bagi membantu menyelesaikan isu pengesahan lafaz cerai yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Menurut Iezwan, ketika prosiding itulah defendan didakwa bersumpah berkali-kali menafikan pernah melafazkan cerai, malah bersumpah atas nama ibu dan anak-anaknya serta menyatakan jika dia berbohong, dirinya akan ditimpa musibah.
“Selang 10 minit daripada perkataan dia sebut tu, dia keluar naik motor, ada sebuah kereta rempuh dari belakang. Plaintif maklum pada aku yang defendan dekat zon kritikal di hospital kerajaan, tiga tulang rusuk patah, paru-paru bocor, kepala ada pendarahan teruk. Masih tak sedarkan diri sampai sekarang.
“Allahuakbar, benda yang biasa kita dengar dan momokkan betul-betul jadi pada ‘client’ aku. Satu nasihat aku, jangan sesekali main dengan sumpah. Merana,” pesannya. – KOSMO! ONLINE













