KUALA LUMPUR – Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal mengakui skuad hoki negara belum berada pada tahap realistik untuk disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) yang bermatlamat memburu pingat emas Olimpik pertama negara.
Menurutnya, KHM memahami sepenuhnya hala tuju program berprestasi tinggi itu dan tidak bercadang memberi tekanan kepada kerajaan untuk memasukkan hoki ke dalam senarai sukan teras RTG ketika ini.
“Sejujurnya, saya rasa itu bukan keputusan kami kerana ia terletak di bawah kementerian dan pihak berkuasa berkaitan. Kami faham RTG ini diwujudkan untuk memburu pingat emas Olimpik pertama negara.
“Saya mahu bersikap praktikal dan realistik. Buat masa ini agak mustahil untuk hoki memenangi emas Olimpik, jadi bantuan sedia ada ini sudah memadai dan kita perlu bergerak selangkah demi selangkah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) penajaan antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan KHM bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Kuala Lumpur, semalam.
Subahan turut menegaskan terdapat sukan lain yang lebih memerlukan sokongan RTG berdasarkan potensi semasa untuk menghadiahkan emas Olimpik kepada negara.
Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan mesyuarat RTG dijadual berlangsung pada 19 Mei ini bagi membincangkan hala tuju baharu program tersebut termasuk kemungkinan memperluaskan skop penyertaan sukan.
“Insya-Allah RTG akan mengadakan mesyuarat pada 19 Mei ini. Salah satu perkara yang akan dibincangkan adalah bagaimana kita mahu menyesuaikan program ini dengan bajet yang diperuntukkan selain melihat landskap sukan negara dengan lebih luas,” katanya.
Menurut Taufiq, jawatankuasa RTG juga tidak mahu terlalu tertumpu kepada sukan tertentu sahaja, sebaliknya bersedia membuka ruang kepada lebih banyak sukan yang berpotensi membantu Malaysia merealisasikan impian emas Olimpik di Los Angeles 2028. KOSMO! ONLINE














