Faizal sudah mengumpul 278 gol dalam 302 penampilan antarabangsa.

Speedy Tigers lumpuh tanpa Faizal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS 15 tahun menyarung jersi skuad hoki negara dengan 302 penampilan di pentas antarabangsa, penyerang prolifik, Faizal Saari akhirnya bersara daripada mewakili Speedy Tigers.

Mesin gol skuad kebangsaan itu pernah mengumumkan hasratnya untuk bersara tahun lepas tetapi membuat pusingan U disebabkan hubungan baiknya bersama pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Namun, Faizal kali ini dilihat benar-benar nekad untuk memberikan fokus kepada penubuhan Akademi Hoki Faizal Saari di Pandamaran, Klang.

Persoalannya mampukah Speedy Tigers berjuang tanpa Faizal?

Pasukan bimbingan Sarjit ketika ini lebih kepada projek jangka panjang dengan sasaran meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Jepun sekali gus layak automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sejak Sarjit dilantik tahun lepas, Faizal sememangnya menjadi watak penting mencipta gol biarpun sudah berusia 33 tahun ketika itu.

Bintang Pasukan Hoki Terengganu itu membuat debut antarabangsa bersama Speedy Tigers dalam saingan Cabaran Juara-Juara II di Dublin, Ireland pada 2009.

Faizal sudah mengumpul 278 gol dalam 302 penampilan antarabangsa.

Ketiadaannya pasti memberikan tamparan hebat buat Speedy Tigers kerana setakat ini tiada penyerang lain mampu menghadirkan gerun kepada mana-mana pertahanan lawan.

Faizal pernah dianggap salah seorang wonderkid dunia menerusi kepantasannya, skil, penyudah tajam terutama trademark iaitu pukulan reverse selain statusnya juga sebagai pakar flik pukulan sudut penalti.

Dia menjadi satu-satunya pemain negara beraksi di Hoofdklasse iaitu divisyen tertinggi Belanda merupakan saingan liga hoki paling popular di dunia, malah mampu menandingi pretij Liga Hoki Eropah.

Faizal disambar ZSV Schaerweijde pada Ogos 2022 dan menjadi kelab tertinggi diwakilinya, mengatasi Mumbai Magicians yang membidanya sebanyak AS$26,000 (MYR79,560) untuk bermain di Liga Hoki India pada 2012.

Kini, enam perlawanan persahabatan dalam siri Jelajah Australia dari 20 April hingga 2 Mei depan menjadi aksi pertama Speedy Tigers beraksi tanpa Faizal.

Tujuh penyerang yang dipilih termasuk tiga pemain berusia 21 tahun ke bawah perlu mengambil kesempatan ini dengan menampilkan aksi terbaik mereka.

Barisan kejurulatihan perlu mencari formula terbaik memastikan bahagian serangan Speedy Tigers kekal tajam sepanjang siri Jelajah Australia.

Ini kerana Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil akan menjadi tuan rumah kepada saingan Piala Negara-Negara FIH dari 15 hingga 21 Jun nanti.

Selepas itu, Malaysia akan menghadapi Piala Asia di Rajgir, India pada Ogos depan yang menyaksikan juara layak automatik ke Piala Dunia 2026 di Belanda dan Belgium.

Dua kejohanan seterusnya tahun ini buat Speedy Tigers ialah Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada November dan temasya Sukan SEA Thailand sebulan kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN