fbpx
Tangkap layar video mat rempit motosikal dan kumpulan kereta didakwa membuat bising di dalam kawasan Putrajaya.

[VIDEO] ‘Semak kepala, geng rempit buat bising dalam Putrajaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suasana tenang di Putrajaya dicemari dengan tindakan biadab segelintir mat rempit yang memasuki kawasan tersebut sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk.

Difahamkan, selain mat rempit, terdapat pemandu kereta yang didakwa melakukan perbuatan sama dengan bunyi ekzos kenderaan yang bising.

Menerusi beberapa video yang dikongsikan pengguna Thread, individu itu mendakwa hampir setiap hari pada awal pagi penduduk terpaksa mendengar bunyi bising motosikal dan kereta yang mengganggu ketenteraman mereka.

“Penduduk sebenar mahupun yang duduk sewa tak usahlah cuba nak viralkan (tular) Putrajaya tenang. Semak kepala bila geng rempit makin ramai masuk buat bising dalam Putrajaya.

“Semalam ada sekumpulan rempit record (rakam) video naik motor keluar api dari kaki berdekatan kiosk depan Dwiputra (perumahan apartmen di Presint 15), habis rosak jalan.

“Tiap hari pagi buta kena dengar geng merempit pula. Dah jadi macam tempat beruk dah Putrajaya ni,” katanya pada hantaran berkenaan.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang marah dengan tindakan kumpulan penunggang motosikal dan pemandu kereta tersebut.

“Aku pun rempit, tapi apakah ini? Depa sampai masuk Putrajaya. Zaman aku, tak ada motosikal sampai aku modi (ubah suai) motosikal aku, aku takkan pernah masuk Putrajaya sebab kawasan kerajaan, golongan elit, sunyi sepi,” kata Qucai.

“Saya setuju aduan anda, budaya ini patut dikawal di mana-mana. Mereka tinggalkan sisa karbon, permukaan jalan rosak, membahayakan pemandu lain,” kongsi Eoweweon.

“Saya boleh dikatakan tiap hari hadap bunyi begini, tambahan pada hujung minggu ada program di Presint 2 atau Presint 3. Rumah tepi jalan ke Jambatan Wawasan. Adoi, naik lali dengar bunyi motor dan kereta yang meletup tu. Apa yang seronok motor dan kereta bunyi serupa jet pejuang,” kata Ida Twinsmiracle.

Hantaran tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin yang turut meninggalkan komen untuk membawa perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Terima kasih atas perkongsian ini. Perkara ini saya akan susul dan berhubung dengan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia). Isu ini melibatkan ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN