LANDSKAP media sosial terus berubah pantas dengan pelbagai perkembangan baharu yang mencuri perhatian pengguna dan memenuhi permintaan digital masa kini.
Dipacu oleh inovasi teknologi dan perubahan gaya hidup semasa, setiap platform saling berlumba memperkenalkan ciri baharu bagi kekal relevan, sekali gus mencipta trend yang pantas berubah dan memikat pengguna.
Antara yang menarik perhatian ialah kemunculan semula aplikasi media sosial Friendster yang bukan sahaja tampil dengan wajah baharu tetapi memfokuskan kepada hubungan dunia sebenar.
Disifatkan lebih canggih, pengguna tidak perlu mencari (search) nama kenalan atau menghantar permohonan untuk bersahabat. Sebaliknya, aplikasi berkenaan berfungsi sama seperti teknologi bayaran tanpa sentuh atau NFC.
Pengguna perlu membuka aplikasi Friendster dan menyentuh telefon antara satu sama lain untuk bertukar profil. Cara itu akan memudahkan pertukaran profil dibuat secara automatik.
Konsep ini bertujuan untuk memastikan senarai rakan hanya terdiri daripada individu dikenali dan pernah berjumpa di dunia nyata, sekali gus mengurangkan akaun palsu atau ‘orang asing’ dalam akaun.

Versi baharu ini dibangunkan oleh seorang pengatur cara dan usahawan, Mike Carson yang membeli domain serta tanda dagang platform tersebut.
Friendster mula diperkenalkan sekitar 2002 sebelum menghentikan operasi secara rasmi pada 2015, manakala syarikat terbabit ditutup pada 2018.
Pada perkembangan yang lain, Meta dilaporkan mula menguji perkhidmatan langganan berbayar dikenali sebagai Instagram Plus di beberapa negara terpilih.

Pengguna Instagram Plus boleh melihat stories tanpa pengetahuan pemilik akaun dan jika pemilik akaun mahu tahu siapa yang melihat, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan tersebut.
Difahamkan, langganan tersebut turut menawarkan pilihan untuk melanjutkan tempoh paparan stories melebihkan had biasa iaitu 24 jam.
Seterusnya, usahawan Elon Musk mula menawarkan perkhidmatan perbankan menerus aplikasi X dikenali sebagai X Money pada April lalu yang telah memulakan akses awam awal bermula di Amerika Syarikat (AS). Aplikasi tersebut telah memperoleh lesen penghantar wang (money transmitter licenses) di lebih 40 negeri di AS.
“Tawaran kadar faedah sehingga enam peratus setahun untuk simpanan tunai dan pengguna akan dibekalkan dengan kad debit (fizikal) serta maya untuk urusan perbankan.
“Membolehkan penghantaran wang secara terus (peer-to-peer) antara pengguna X dalam masa nyata menggunakan teknologi Visa Direct,” kata Musk dalam satu kenyataan.
Biarpun dilihat jauh lebih canggih namun, dalam satu laporan di TechCrunch mengatakan platform Threads secara rasmi memintas X pada kadar pengguna.
Menerusi statistik pengguna setakat 7 Januari 2026, Threads mencatat 141.5 juta pengguna aktif harian pada IOS dan Android, manakala X mencatat 125 juta pengguna. Data terbaharu menunjukkan Threads kini mempunyai lebih ramai pengguna aktif harian (DAU) di aplikasi telefon pintar berbanding X.
“Walaupun kalah di aplikasi telefon, X masih lagi juara di platform web dengan jumlah pelawat harian mencecah 145 juta, jauh meninggalkan Threads yang hanya mempunyai sekitar 8.5 juta pelawat web,” lapor TechCrunch.
Biarpun pelbagai perubahan telah dibuat, paling utama pengguna perlu bijak dalam beradaptasi dengan setiap perkembangan media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih serta mampu memanfaatkan platform tersebut secara beretika dan berfaedah.
















