fbpx
Mohd. Daud (kanan) dan Norliza ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Shidiqqin Zon/KOSMO!

Mohd. Daud, rakan kongsi didakwa pecah amanah RM10.55 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat termasuk tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd. Daud Bakar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan.

Bagaimanapun Mohd. Daud, 62, dan rakan kongsinya Datuk Norliza Tajudin, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah wang masing-masing RM400,000, RM500,000, RM900,000, RM2 juta, RM550,000, RM6 juta dan RM200,000 milik individu dan syarikat berlainan.

Individu dan syarikat itu terdiri daripada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Moideen Kunjayu, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn. Bhd.

Ia yang mana kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan harta tersebut secara melanggar kontrak nyata yang telah dibuat di antara Energy Eco Sdn. Bhd. dengan individu dan syarikat berkenaan.

Kontrak itu melibatkan `Shareholder’s Advance Agreement’ bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari 2022, 1 April 2022, 27 April 2022, 6 Disember 2022, 5 April 2023 dan 12 Mei 2024 selain kontrak tersebut membabitkan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan perbuatan tersebut atas kapasiti selaku pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di Taman Setiawangsa dan Jalan Maarof, Bangsar di sini antara 22 Jun 2021 dan 12 Mei 2024.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana kemudian membenarkan Mohd. Daud dan Norliza masing-masing diikat jamin RM100,000 berserta syarat tambahan melapor diri pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Mahkamah juga turut memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh-tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tarikh 19 Jun ini ditetapkan sebutan semula kes.

Pada Februari lalu, Mohd. Daud telah didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berlainan atas pertuduhan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN