JOHOR BAHRU – Beberapa buah kenderaan membawa pemimpin tertinggi UMNO memasuki Istana Besar Johor di sini seawal pukul 9.30 pagi tadi sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.
Antara yang hadir ialah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan kepimpinan tertinggi parti dari seluruh negara.
Turut kelihatan beberapa kenderaan membawa barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. Difahamkan, pucuk pimpinan UMNO dijadual menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sempena sambutan tersebut.
Majlis itu diadakan sebagai simbolik memperingati sejarah penubuhan UMNO di Istana Besar Johor pada 11 Mei 1946 dan dijangka menghimpunkan ratusan pemimpin parti dari seluruh negara.
Tinjauan mendapati suasana di sekitar pekarangan istana dikawal ketat oleh anggota keselamatan sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran lalu lintas di pusat bandar raya ini.
Beberapa pemimpin UMNO turut dilihat mengenakan busana Melayu berwarna putih dan merah bersempena sambutan berkenaan. Difahamkan, bacaan Yasin akan diadakan sejurus selepas sesi pertemuan bersama Pemangku Sultan Johor.
Selepas itu, barisan kepimpinan UMNO dijangka bergerak ke Ibu Pejabat UMNO Johor di Jalan Yahya Awal bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual bermula pukul 3 petang. – KOSMO! ONLINE














