PETALING JAYA – Kemunculan lubang di jalan utama bersebelahan Terminal Bas Hentian Duta di sini mengundang kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya selepas banyak kenderaan rosak termasuk tayar pecah sejak beberapa hari lalu.
Menerusi perkongsian tular di Threads @Nashihinz, dia mendakwa banyak kenderaan termasuk bas mengalami kerosakan disebabkan lubang besar tersebut malam tadi.
Katanya, keadaan itu amat berbahaya terutama ketika cuaca hujan lebat kerana lubang tersebut sukar dilihat oleh pengguna jalan raya.
“Pihak berkuasa tolong buat sesuatu dengan segera. Banyak kereta kena, bas pun ada. Kereta berhenti di tepi jalan sebab jadi mangsa lubang ini.
“Bayangkan kalau tengah hujan lebat? Dalam lubang sampai melambung kereta. Mujur tak ada sesiapa (mangsa) yang cedera. Bayangkan kalau motosikal ya Allah,” tulisnya.
Wanita tersebut turut memaklumkan seorang penunggang motosikal dilaporkan terjatuh dipercayai akibat keadaan jalan tersebut.
Tambahnya, ramai pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman berdepan situasi sama sejak Rabu lalu dan mendakwa masih belum ada tindakan dilakukan.
“Rupa-rupanya ramai kongsi di sini (Threads) dorang (mereka) dah kena semalam. Ada yang cakap Rabu dah kena, biar betul dari Rabu, hari ini dah Ahad (semalam) tidak buat apa-apa? Bukan sikit (bilangan) kereta kena. Berderet tepi jalan.
“Ada kereta polis tunggu depan lubang untuk cegah daripada orang lalu tetapi itulah sampai bila polis nak duduk situ untuk jaga lubang?,” tulisnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa pengguna turut berkongsikan gambar jalan yang mempunyai beberapa lubang besar selain tayar kenderaan yang rosak akibat insiden tersebut.
“Saya mangsa pada 9 Mei,” komen Mirra sambil berkongsikan sekeping gambar memaparkan tayar kenderaannya yang bocor dan pecah.
“Allahurabbi..Harap agensi bertanggungjawab ambil tindakan dengan segera, bahaya betul,” komen Hashim. – KOSMO! ONLINE














