Saudara Pengarang,
Saya terpanggil untuk mengulas mengenai trend makanan dan minuman viral di media sosial. Saya perhatikan terlalu banyak misalnya minuman ‘diubah suai’ dan diletakkan pelbagai bahan-bahan yang tidak mempunyai khasiat dan tinggi dengan kandungan gula.
Setiap kali minuman baharu diperkenalkan, maka ramailah orang muda dan golongan pertengahan beratur panjang untuk membelinya.
Ini yang dinamakan FOMO atau fear of missing out. Golongan ini sanggup berbaris panjang tanpa mengira cuaca untuk membeli makanan/minuman yang tular. Jika tidak berbuat demikian mereka berasa seperti ketinggalan dan rugi.
Air kopi dan koko misalnya boleh diminum, malah mempunyai manfaat untuk tubuh, namun jika ditambah dengan susu pekat manis, pelbagai jenis sirup dan keju bukan sahaja agak janggal, namun boleh memudaratkan jika diambil secara kerap dalam kuantiti yang banyak.
Saya bersetuju dengan hantaran Public Health Malaysia di Facebook yang bimbang mengenai trend orang ramai meminum minuman manis.
Penjual atau peniaga juga berlumba-lumba menawarkan promosi menyebabkan minuman manis ini menjadi sebahagian daripada rutin.
Ia bukan lagi reward pada hari gaji cheat day atau hari buntu untuk melepaskan tekanan. Malah, setiap hari hendak beratur membeli kopi, teh dan matcha di kedai.
Kesan pengambilan gula berlebihan akan dirasai lima atau 10 tahun akan datang bukan sahaja disebabkan obesiti atau kencing manis, malah lebih teruk terpaksa menjalani dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang.
Kita tidak perlu memboikot peniaga, minum sekali sekala itu sudah memadai. Dengan mengurangkan kekerapan membeli minuman manis viral ini kita dapat menjaga kesihatan dan tidak menzalimi tubuh badan sendiri.
Jangan menyalahkan pihak hospital jika kita perlu beratur panjang dan menunggu berjam-jam di fasiliti kesihatan untuk sesi janji temu dengan doktor disebabkan penyakit kronik.
Peringatan ini untuk diri saya sendiri juga.
Oleh itu marilah kita bersama-sama menjalani hidup sihat. Jangan sampai tenat baru menyesal.
Amanda
Putrajaya
















