KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan pantas selepas mengenal pasti terdapat sebuah lubang di atas jalan raya di Jalan Tun Razak berhampiran bangunan RHB, di sini.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan awal telah dilaksanakan dengan mengepung kawasan terlibat menggunakan penghadang keselamatan dan pita keselamatan bagi tujuan kawalan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, pemantauan serta tindakan lanjut sedang dilaksanakan di lokasi bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal.
Sementara itu, DBKL turut memaklumkan kerja-kerja turapan semula permukaan jalan yang tidak rata di bawah laluan bawah Jalan Genting Kelang menghala ke Jalan Gombak telah siap dilaksanakan.
“Kerja itu dilaksanakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan orang ramai menggesa pihak berkuasa tempatan membaiki segera laluan sekitar Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Ampang.
Ia susulan dakwaan terdapat beberapa lubang besar sepanjang laluan tersebut yang dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna mendakwa lubang di laluan itu besar sehingga diibaratkan seperti berada dekat bulan. – KOSMO! ONLINE














