KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang terhadap kesalahan menghina agama dan institusi diraja perlu dinilai semula sesuai dengan cabaran semasa.
Ini kerana kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meskipun terdapat hak kebebasan bersuara, namun ia bukan lesen menghina agama, memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu ataupun merosakkan asas keharmonian negara.
“Keresahan orang Melayu hari ini semakin mendalam apabila kesucian Islam dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu berulang kali disentuh secara terbuka.
“Daripada isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka ‘ham and cheese’ yang meremehkan halal, isu (anggota bomba) Allahyarham Muhammad Adib, bantahan terhadap laungan azan.
“Hinggalah kepada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam semuanya mengguris hati dan menimbulkan persoalan besar tentang nilai hormat terhadap asas negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, lebih membimbangkan apabila ada segelintir kelompok dengan biadap menyamakan wajah Sultan Selangor dengan imej haiwan.
“Ini bukan sekadar gurauan melampau, tetapi penghinaan terbuka terhadap institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara.
“Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














