MADRID Real Madrid dilanda konflik dalaman besar menjelang aksi El Clasico selepas Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni masing-masing dikenakan denda €500,000 (RM2.3 juta) susulan pergaduhan ketika sesi latihan, kelmarin.
Insiden panas itu turut menyebabkan Valverde mengalami kecederaan serius di bahagian muka sehingga memerlukan rawatan susulan di hospital sekali gus terpaksa disisihkan terlepas aksi menentang Barcelona, awal pagi esok.
Bagaimanapun, pengurusan kelab dalam satu kenyataan memaklumkan tiada hukuman susulan dikenakan terhadap kedua-dua pemain, malah siasatan dalaman turut dianggap selesai selepas mereka mengemukakan permohonan maaf secara rasmi.
“Kedua-dua pemain menyatakan kekesalan penuh terhadap apa yang berlaku dan sudah memohon maaf antara satu sama lain, kepada kelab, rakan sepasukan, staf kejurulatihan serta penyokong,” menurut kenyataan tersebut
Menurut laporan, pergaduhan antara Valverde dan Tchouameni tercetus selepas ketegangan berlarutan sejak sesi latihan Rabu sebelum kemuncaknya di bilik persalinan sehari kemudian.
Difahamkan, Valverde cuba meredakan keadaan dengan menafikan berlaku insiden tumbuk-menumbuk antara mereka.
“Tekanan ketika mengharungi perlawanan lepas dan kekecewaan menyebabkan situasi menjadi tegang. Saya hanya terlanggar meja ketika pertengkaran dan mengalami luka kecil di dahi,” katanya.
Kemelut itu dipercayai hanya sebahagian daripada masalah lebih besar yang sedang melanda bilik persalinan The Galacticos selepas beberapa pemain dilaporkan sudah hilang hormat terhadap ketua jurulatih, Alvaro Arbeloa. – AGENSI














