fbpx
Kediaman mangsa samun di Jalan Melayu, Ayer Tawar di Sitiawan semalam.

Warga emas disamun, maut ketika terima rawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Seorang warga emas berusia 84 tahun maut ketika menerima rawatan setelah dirompak di kediamannya di Jalan Melayu, Ayer Tawar di Sitiawan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, anggotanya yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Ayer Tawar menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kejadian samun tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati sepasang suami isteri warga emas telah diserang suspek seorang lelaki di rumahnya sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan yang serius akibat dipukul oleh objek keras.

“Suspek telah melarikan dua unit telefon bimbit serta beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jiran mangsa yang mendengar bunyi bising telah datang bagi membantu mangsa dan membawanya ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan.

“Namun mangsa lelaki telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan ‘post-mortem’ akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

“Hasil maklumat dan risikan, pada hari yang sama kira-kira pukul 7.45 malam, sepasukan polis daripada cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menangkap suspek seorang lelaki India berumur 27 tahun bersama barang milik mangsa,” katanya.

Hasbullah berkata, suspek telah dibawa ke IPD Manjung bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302/394 Kanun Keseksaan.

“Saksi atau orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil hadir ke IPD Manjung.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN