ADA sesuatu tentang kumpulan Exists yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Mungkin kerana mereka bukan sekadar band atau kumpulan muzik.
Mungkin juga nama Exists itu sendiri membesar bersama generasi yang pernah melalui zaman kaset, walkman, surat cinta dan rindu yang tidak pernah terluah.
Ditubuhkan sekitar tahun 1991 ketika semua anggotanya, Mamat, Shah, Ajai, Musa, Along dan Ujang masih terlalu muda untuk memahami kerasnya dunia hiburan, mereka meledak dengan lagu hit Untukmu Ibu serta Rahsia Pohon Cemara.
Selepas 35 tahun, Exists masih kekal relevan dengan untaian lagu yang menjadi karya malar segar antaranya, Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Jesnita.
Boleh dikatakan, Exists hari ini adalah jalinan ‘brotherhood’ atau persahabatan yang membuatkan mereka bertahan pada kala hampir kebanyakan band legenda tempatan berpecah-belah mahupun bubar.
Mamat, bekas vokalis yang cukup kontroversi dengan masalah penggunaan dadah sebelum ini melihat Exists bukan sebuah kumpulan sebaliknya keluarga.
“Saat saya berada di fasa paling bawah dan paling gelap, mereka tidak pernah meninggalkan saya.
“Apa sahaja yang saya lakukan, mereka akan sentiasa ada, bukan seorang tetapi semua memberi sokongan penuh apabila saya memerlukan, “ ujar Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin, 48, membuka bicara.
Biar begitu banyak kesilapan yang dilakukan, satu hal yang membuatkan Mamat terharu adalah sahabat-sahabat dalam Exists tidak pernah meninggalkannya.
“Walaupun masing-masing sudah berjaya dan miliki kerjaya sendiri, mereka masih bantu saya supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Itu yang buat saya rasa bersyukur sangat.
“Meskipun saya tidak berada di semua konsert Exists, tetapi setiap kali persembahan besar, mereka tidak pernah meninggalkan saya,” tuturnya.

Jatuh bangun
Bagi komposer dan pemain keyboard, Ajai, ‘brotherhood’ mereka cukup mahal dan tidak boleh ditukar ganti.
“Kami mengenali hati budi masing-masing sejak usia belasan tahun. Melihat jatuh bangun bersama menjadikan semua itu pelajaran dan pengajaran buat kami,” ujar Ajai.
Ditebak soalan momen yang tidak boleh dilupakan sepanjang karier mereka, masing-masing mula ketawa panjang terutama kegigihan peminat waktu zaman kegemilangan Exists.
“Kegigihan Exists dalam menyantuni para peminat tidak mengira kedudukan geografi. Waktu dulu pengangkutan awam sangat terhad.
“Kami pernah naik turun perahu, menyusuri sungai dalam yang mungkin ada buaya, bermain muzik di atas tanah kerana penganjur tidak sediakan pentas. Walau dalam keadaan serba kekurangan, peminat tetap datang dari segenap pelusuk.
“Bila terbenamnya matahari, padang menjadi lautan manusia. Waktu itu yang hanya kami tahu adalah muzik kami untuk mereka semua. Sungguh terharu dan tidak boleh lupa sampai hari ini,” kongsi Ajai.
Selain itu, Shah menambah, kegigihan peminat ketika zaman kegemilangan mereka juga merupakan momen yang cukup berharga.
“Dahulu peminat suka bagi hadiah seperti cawan letak nama kami, topi dan baju pun mereka sanggup jahit sendiri letak nama setiap ahli.
“Kami pergi show berlenggang tidak bawa apa-apa, tetapi balik penuh dengan hadiah,” kongsi Shah.
Sementara itu pemain gitar, Along berkongsi momen sukar dan tidak boleh dilupakannya adalah ketika vokalis Mamat keluar dari kumpulan Exists.
“Kami hanya tahu Mamat keluar kumpulan dari berita surat khabar. Bayangkan emosi ketika itu, kemudian kami ada masalah kontrak dan tidak boleh buat show atau keluar lagu baharu selama setahun.
“Rasa seperti kena Covid. Sebab kami tidak boleh ke mana-mana dan buat apa walaupun ketika itu telah buat rakaman lagu dengan Ezad. Hikmahnya, dalam tempoh berkurung itu kami semua belajar buat lagu untuk penyanyi lain,” kongsi Along

Konsert
Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali Exists mengadakan konsert dan sambutan yang diterima Exists tidak pernah berkurang.
Tidak melihat senario berkenaan sekadar satu trend semata-mata, tetapi kata Ujang itu adalah trend yang menghidupkan industri muzik tempatan.
“Sejujurnya, sebagai pemuzik saya bersyukur ramai artis buat konsert termasuk Exists. Sambutan yang baik menandakan karyawan seni, produksi dan penganjur ada kerja.
“Tetapi kami tidak boleh mengambil kesempatan di atas permintaan yang tinggi. Setiap show tidak kira besar atau kecil, harus beri terbaik supaya tiket yang dibeli itu berbaloi,” tutur Ujang.
Sedar bahawa konsert bukan sekadar muzik, sebaliknya paduan rasa dan nostalgia yang cukup istimewa, Exists bijak bermain dengan emosi peminatnya.
Terbaharu, Exists akan menemui peminat menerusi konsert Exists Memento Mori 1 Ogos depan di Unifi Arena yang bakal menyelusuri kembara perjalanan muzik mereka.
Ini merupakan konsert besar pertama Exists selepas penganjuran konsert Exists Reunion pada 2019 di Shah Alam dan Singapura.
“Konsert Exists Memento Mori merupakan kali pertama untuk kami bertujuh membuat persembahan di lokasi tersebut.
“Gementar itu pasti dirasakan di mana-mana konsert atau persembahan. Konsert kali ini akan berdurasi dua jam setengah atau tiga jam dan pastinya kami akan memberikan lagu-lagu hits dan juga ‘rare’ untuk peminat.
“Memang lagu-lagu Exists liriknya adalah mengimbas nostalgia, jadi kami tidak boleh mengambil ringan nostalgia setiap peminat. Diharap peminat akan terus memberikan sokongan, “ kata Ezad Lazim yang menyertai Exists selaku vokalis pada 1995.
Sebelum menutup bicara, Musa selaku pemain bass Exists berkata, dia tidak menyedari betapa mahalnya nilai nostalgia sehinggalah selepas lebih tiga dekad berkarier dalam bidang muzik.
“Kalaulah dulu semasa muda saya tahu betapa bernilainya sebuah nostalgia muzik Exists bukan untuk kami sahaja tetapi juga peminat, mungkin strategi perjalanan muzik kami akan berbeza.
“Tetapi, telah tertulis ini jalan kumpulan Exists begini dan saya bersyukur kerana apa sahaja yang berlaku telah membentuk Exists hari ini menjadi lebih matang, saling menyokong dan berseronok (enjoy) dalam berkarya,” tutur Musa menoktahkan perbualan.
Pernah bertukar anggota kemudian menyatu semula demi para peminat, Exists kini terus matang mendepani petualangan seni muzik dan terus menderu maju bersama kesetiaan dan semangat para penyokong sejak tahun 1991.
Kembali bertujuh, Exists bakal membuai emosi dan nostalgia peminat menerusi konsert Exists Memento Mori 1 Ogos depan di Unifi Arena, Bukit Jalil.















