fbpx
Tangkap layar lokasi kejadian seorang remaja dipercayai dikelar seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, Nosoob, semalam.

Tuntut baki hutang punca remaja dikelar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENAMPANG – Seorang remaja perempuan cedera parah selepas dipercayai dikelar suspek yang menuntut baki hutang kerja membaiki paip dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak buahnya.

“Mangsa difahamkan membantu menjaga kanak-kanak tersebut ketika kakak iparnya keluar bekerja.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa dengan kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang memegang sebilah pisau kerana sedang menyiapkan masakan di dapur.

“Suspek mendakwa mangsa telah mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkannya berasa marah lalu bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa.

“Suspek kemudian mengelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher sebelum bertindak melarikan diri,” ujarnya.

Beliau berkata, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sabah bersama pegawai penyiasat telah hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu dengan bantuan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami beberapa kecederaan serius iaitu luka kelar di bahagian leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala,” katanya.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki di kawasan semak tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar sekitar pukul 5.50 petang, semalam.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, Asisten Superintendan Hairie Awang Akub di talian 016-8032849. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN