PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai Geng Shafik dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM1.6 juta sejak aktif menjalankan kegiatan itu bermula Februari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM12,000 hingga RM15,000 bagi setiap migran yang dibawa masuk ke negara ini secara haram.
Menurut beliau, kegiatan sindiket itu berjaya dilumpuhkan menerusi serbuan di sebuah rumah di kawasan lot kedai sekitar Petaling Jaya, di sini pada Isnin lalu.
“Serbuan itu berjaya menahan sembilan lelaki warga Bangladesh yang disyaki diseludup masuk ke Malaysia selain dua lagi lelaki dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan laluan negara ketiga sebelum membawa masuk migran secara haram melalui Kelantan ke Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua tahanan berusia antara 20 hingga 49 tahun kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – KOSMO! ONLINE














