fbpx
Tengku Permaisuri Norashikin ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di DATC UiTM Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

UiTM seumpama ‘Universiti Diraja’, pelihara hak bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus dipelihara peranan dan kedudukannya, seumpamanya sebuah ‘Universiti Diraja’ dalam memelihara hak dan kepentingan bangsa.

Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, tanggungjawab itu menuntut semua pihak memastikan UiTM kekal berperanan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Baginda menegaskan, peranan UiTM yang kekal relevan membangunkan anak bangsa perlu digalas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

“Ini khususnya dalam melindungi hak orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, selaras dengan Akta 173 (1A) dan Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah ini. Saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak membuat cubaan mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya,” titah Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam di sini, hari ini.

Menurut baginda, perjalanan UiTM yang menjangkau lebih tujuh dekad sejak penubuhannya sebagai Dewan Latehan RIDA pada 1956 mencerminkan iltizam berterusan dalam memartabatkan pendidikan sebagai asas kekuatan bangsa.

“Dari sebuah institusi kecil, UiTM telah berkembang menjadi benteng ilmu yang menyinari harapan generasi demi generasi.

“Sebagai graduan UiTM, saya berharap anda semua terus memikul amanah sebagai duta kecil universiti dengan memartabatkan nama institusi ini,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda bertitah supaya pengurusan UiTM meneruskan komitmen terhadap kecemerlangan universiti itu tanpa berkompromi terhadap kualiti.

“Universiti ini harus kekal menjadi benteng ilmu untuk anak bangsa, yang menjadi pelita menerangi jalan pembangunan negara,” titahnya.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap ketegangan geopolitik dunia yang mengorbankan nyawa serta berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi, sosio-politik dan kesejahteraan sejagat.

“Keadaan ini seharusnya menjadi iktibar agar kita sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, keperluan negara, serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat untuk terus mendoakan agar negara kita serta negara serantau, sentiasa dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” titahnya.

Pada istiadat itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Kee Mustafa sebagai Pro-Canselor UiTM.

Seramai 25,336 graduan telah berjaya menamatkan pengajian dari pelbagai peringkat bagi konvokesyen kali ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN