PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial mendakwa wang berjumlah lebih RM1,200 milik rakannya ‘hilang’ selepas melakukan pemindahan dari sebuah bank tempatan ke bank digital, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran dimuat oleh @Saidgila memaklumkan rakannya membuat transaksi daripada sebuah bank konvensional ke bank digital, namun wang berkenaan tidak diterima.
Menurutnya, apabila perkara itu dirujuk kepada pihak bank digital, mereka meminta pengguna merujuk semula kepada bank asal, manakala bank asal pula meminta perkara itu disemak dengan bank penerima.
“Rakan saya transfer dari bank konvensional ke bank digital, tetapi hilang. Tanya bank digital, mereka suruh rujuk bank asal. Tanya bank asal, suruh rujuk bank digital. Macam mana ini?” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan tangkap layar transaksi yang menunjukkan pemindahan melalui DuitNow berjumlah RM1,246.99.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan kebimbangan selain berkongsi pengalaman hampir sama berhubung isu transaksi perbankan.
Seorang pengguna, @Ndhsyhmi berpendapat perkara itu wajar dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia kerana kedua-dua pihak tidak boleh saling melepaskan tanggungjawab.
“Laporkan kepada Bank Negara, jangan sekadar saling suruh rujuk antara satu sama lain,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Haxa_is mencadangkan agar mangsa mengemukakan surat tuntutan (letter of demand) kepada bank terlibat sekiranya isu tidak diselesaikan dalam tempoh munasabah.
“Bank ada tempoh tertentu untuk beri maklum balas. Jika tidak memuaskan, boleh ambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Dalam pada itu, @Aifzia pula menyarankan pengguna lebih berhati-hati dalam menggunakan bank digital selain mendakwa tidak semua sistem setanding bank konvensional.
“Tutup sahaja akaun jika tidak yakin. Jangan ambil risiko,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna lain, @Sweet_saturdayy berkongsi pengalaman wangnya kembali semula selepas beberapa hari, namun terpaksa berulang-alik ke bank untuk membuat aduan.
“Ambil masa beberapa hari juga sebelum wang masuk semula. Kena pergi bank beberapa kali,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














