PONTIAN – Bilangan mangsa ribut yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Kampung Melayu Raya, di sini, meningkat setakat pukul 4 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian memaklumkan jumlah keluarga terjejas bertambah daripada 23 kepada 25 keluarga, manakala mangsa meningkat daripada 82 kepada 86 orang.
Menurut kenyataan itu, kebanyakan mangsa merupakan penghuni rumah sewa di Jalan Rezab 1 yang mengalami kerosakan teruk selepas kawasan berkenaan dilanda ribut puting beliung pada Ahad lalu.
“PPS di SK Melayu Raya dibuka pada pukul 6 petang susulan kejadian angin kencang kira-kira pukul 3.30 petang yang menyebabkan kerosakan bumbung dan siling melibatkan 28 premis.
“Selain 23 rumah sewa, lima rumah kediaman persendirian serta sebuah madrasah turut terjejas akibat bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














