fbpx
Seramai 2,031 ahli Pandu Puteri menyertai perkhemahan ‘mega’ selama tiga hari itu untuk mendapatkan lencana Jade Remaja yang turut diadakan sempena ulang tahun ke-110 persatuan tersebut. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Pandu Puteri Malaysia terima pengiktirafan ASEAN, Asia Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN tidur di tengah-tengah Stadium Merdeka yang berlatarbelakangkan Menara Merdeka 118 di ibu kota sememangnya sesuatu yang luar biasa bagi Nur Iman Umairah Abd. Mohd. Zaki.

Dalam suasana yang dipenuhi ribuan peserta, setiap detik di kem tersebut bukan sahaja mengujakan, malah menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

Menurut remaja dari Kedah itu, dia berasa gembira mengikuti program tersebut apatah lagi dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu.

“Ini merupakan kali pertama saya berpeluang tidur di tengah-tengah stadium bersejarah sambil melihat latar belakang menara kedua tertinggi di dunia.

“Saya juga dapat ramai kawan baharu dari negeri lain yang sebelum ini tidak pernah saya jumpa. Memang seronok kerana peserta sangat ramai dan suasana menjadi lebih meriah,” katanya kepada K-Remaja.

Nur Iman Umairah, 14, merupakan salah seorang daripada 2,031 peserta Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dari seluruh negara yang menyertai Kem Jade 2026 di Stadium Merdeka baru-baru ini.

Kem Jade 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu turut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Hasli Mohd. Ibrahim.

Penganjuran itu diiktiraf sebagai ‘Kem Pandu Puteri Terbesar di Stadium bersebelahan Bangunan Kedua Tertinggi di Dunia sempena Sambutan Ulang Tahun ke-110’ sekali gus mencipta dua rekod peringkat ASEAN dan Asia.

Pengiktirafan dan anugerah yang merupakan pencapaian tertinggi PPPM sejak penubuhannya pada tahun 1916 itu disampaikan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi dan Eldrick Koh kepada Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.

Kongsi Nur Iman Umairah, antara cabaran paling dirasai ialah urusan mandi yang perlu dilakukan secara berkumpulan dalam keadaan terhad dan tergesa-gesa.

Namun, semua itu terpaksa dihadapi demi memastikan setiap tugasan dapat disempurnakan bagi melengkapkan kesemua lima modul dan log yang menjadi syarat utama penyertaannya untuk mendapatkan lencana Jade Remaja.

Baginya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah mandi beramai-ramai di kolam yang dikongsi sehingga 20 orang dalam satu masa, dengan tempoh hanya sekitar 15 minit bagi setiap sesi.

“SEPANJANG aktiviti di sini, saya perlu beratur dan menunggu giliran sebelum dapat menjalankan setiap tugasan. Kebanyakan aktiviti dilakukan secara berkumpulan, jadi kami memang perlu bekerjasama termasuk ketika mandi,” katanya.

Jelasnya, mereka mandi dengan ‘mencipta’ kolam di dalam salah satu khemah dengan memasukkan air ke dalam suatu bekas.

Sementara itu, Caitlin Theresa Michael, Raudzah Mohd. Ekhwan serta Raudhah Mohd Ekhwan yang berusia 19 tahun hadir sebagai sukarelawan bagi membantu pengurusan peserta di Kem Jade 2026.

Menyifatkan kem tersebut sebagai kem terbesar yang pernah disertai, ketiga-tiga mereka memainkan peranan membantu ramai peserta, terutamanya yang pertama kali menyertai aktiviti perkhemahan.

Peserta terdiri daripada pelbagai peringkat Pandu Puteri, bermula daripada Kelip-Kelip, Tunas, Remaja, Renjer dan Clover, sekali gus menjadikan pengurusan kem lebih mencabar kerana bilangan peserta yang sangat ramai dalam Kem Jade 2026.

Paling mencabar, mereka perlu membantu peserta menyiapkan buku log dalam tempoh yang singkat iaitu sekitar dua hari kerana ia merupakan syarat untuk mendapatkan lencana atau anugerah.

Ketiga-tiga mereka mengakui bahawa pengalaman memakai semula uniform turut mengimbau kenangan lama, selain menimbulkan rasa empati terhadap peserta kerana mereka sendiri pernah melalui pengalaman perkhemahan seumpamanya dahulu.

“Kami akui, apabila memakai semula uniform ini, banyak kenangan lama kembali. Kami jadi lebih faham keadaan peserta kerana kami sendiri pernah melalui pengalaman yang sama sebelum ini.

Dari kiri: Gillian, Soo Keng, Izwan Hasli dan Elderick semasa penyampaian pengiktirafan Asia Records bagi perkhemahan yang dilangsungkan Pandu Puteri Malaysia itu.

“Kebanyakan mereka tidur pukul 3 pagi kerana aktiviti tamat pada waktu itu, dan perlu mula bersiap untuk aktiviti pagi seawal pukul 6 pagi. Memang tidak sempat betul-betul berehat.

“Melihat mereka penat menyiapkan logbook mengingatkan kami kepada pengalaman yang pernah kami lalui dahulu,” kata Caitlin sambil diakui Raudzah serta Raudhah.

Untuk pengetahuan, peserta kem perlu melalui beberapa stesen kemahiran untuk meraih lima lencana sebelum layak menerima anugerah Jade.

Antaranya ialah lencana World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS), lencana pembuat simpulan, lencana sejarah, lencana pengembaraan dan lencana ‘Gear Up’.

Antara aktiviti dijalankan ialah pembelajaran sejarah Pandu Puteri, aktiviti simpulan dan ikatan asas serta hiking atau navigasi menggunakan peta dan kompas.

Selain itu, peserta juga menjalani aktiviti ‘Gear Up’ yang melibatkan kemahiran dan persediaan perkhemahan serta cabaran berkumpulan di stesen tertentu untuk menguji kerjasama dan ketahanan fizikal.

Peserta dinilai oleh pemimpin Pandu Puteri dan jurulatih yang bertugas sepanjang kem.

Mereka memerhati penglibatan peserta dalam setiap aktiviti seperti hiking, simpulan dan cabaran stesen. Selain itu, mereka juga menilai kerjasama, disiplin dan kemahiran yang ditunjukkan oleh peserta.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng berkata, penganjuran di lokasi bersejarah dengan berlatarbelakangkan Menara Merdeka 118 itu menambah nilai simbolik kepada sambutan berkenaan.

Menurut beliau, program tersebut membuktikan semangat perpaduan dan kepimpinan yang berterusan yang telah membentuk Pandu Puteri di Malaysia selama lebih satu abad.

“Dalam keghairahan untuk menerima kecerdasan buatan (AI) tanpa batas, kita tidak boleh mengabaikan keunikan sebagai rakyat negara ini.

“Kita memerlukan peringatan sejarah dengan menghubungkan warisan negara yang kaya dengan visi masa depan yang mampan dan berdaya maju.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada ASEAN dan Asia Records serta berterima kasih kepada ahli-ahli yang merangkumi Kelip-Kelip hingga Trefoil Guild yang menjayakan perancangan ini.

“Kem ini akan terus menjadi titik pertemuan fizikal dan bermakna dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak perempuan serta wanita muda,” katanya lagi.

Sementara itu, Izwan Hasli berkata, selaku penyedia lokasi, pencapaian PPPM merupakan aspirasi besar yang membanggakan apabila mengangkat nama negara di persada serantau.

Tambahnya, program tersebut menjadi platform pembelajaran holistik dalam membentuk jati diri serta kepimpinan generasi muda.

“Kem ini bukan sekadar perkhemahan, sebaliknya ia mengasah kemahiran kepimpinan, memperkukuh disiplin serta memupuk semangat kebersamaan menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka sepanjang program.

“Penganjuran di lokasi bersejarah ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk menghayati nilai Pandu Puteri dan kekal terhubung dengan sejarah yang membentuk masa depan kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN