MELAKA – Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan dan pengurus syarikat direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi pembekalan makanan dan minuman serta pembelian am berjumlah RM15,000, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 9 Mei ini dibenarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan pada pukul 6.30 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka di sini semalam.
“Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun lalu. Ketika itu suspek yang kini berjawatan pengarah merupakan timbalan pengarah di agensi berlainan.
“Mereka dipercayai mengemukakan tiga invois pembekalan makan minum dan pembelian am dalam sistem ePerolehan bagi Tahun Kewangan 2025 sedangkan pembekalan dan pembelian itu tidak pernah dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














