MEKAH – Seramai 514 orang daripada 31,600 jemaah haji terpaksa menolak tawaran haji pada saat-saat akhir meskipun hampir berlepas ke Tanah Suci ekoran masalah tertentu termasuk kesihatan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, antara punca utama mereka berbuat demikian ialah kes kematian, kemalangan dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Menurutnya, terdapat juga kes melibatkan isu iddah apabila kematian pasangan menyebabkan balu atau isteri tidak dapat meneruskan ibadah haji.
“Selain itu, ada jemaah yang mengalami masalah kesihatan serius termasuk rebah sebelum berlepas dan perlu dirujuk segera ke hospital.
“Pelbagai faktor ini menyebabkan bakal jemaah terpaksa membatalkan hasrat ke Tanah Suci walaupun telah menerima visa,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, namun begitu kekosongan itu telah dipenuhi sepenuhnya walaupun wujud kes di mana individu menarik diri pada saat akhir.
Katanya, kekosongan yang berlaku segera diisi menerusi senarai menunggu, khususnya dalam kalangan mereka yang bersedia menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pengesahan dibuat.
Menurutnya, Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai susunan keutamaan tersendiri dalam menentukan calon yang layak bagi memastikan pengisian kuota berjalan lancar.
“Kita mempunyai susunan keutamaan tersendiri dalam menentukan calon yang layak,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Hisham memaklumkan pihaknya menerima enam laporan kehilangan kad Nusuk melibatkan jemaah haji Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, jemaah tidak perlu panik kerana pengesahan diri masih boleh dilakukan menggunakan versi digital menerusi aplikasi Nusuk.
“Aplikasi ini mengandungi maklumat penting termasuk permit dan visa haji yang boleh ditunjukkan di pusat pemeriksaan sekiranya kad fizikal hilang,” katanya.
Dalam masa sama, usaha sedang dilakukan untuk menggantikan kad baharu dengan kerjasama syarikat pengendali dan pihak berkuasa Arab Saudi, tertakluk kepada kelulusan semasa.
Selain itu, katanya semakan turut dibuat di kaunter hilang dan jumpa bagi mengesan kemungkinan kad yang tercicir dapat ditemukan semula.
“Jemaah dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kad Nusuk dengan baik, tidak meletakkannya merata-rata dan digalakkan memakainya di leher bagi mengelakkan kehilangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














