IPOH – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak mangsa pada pukul 10 malam.
Katanya, mangsa yang berusia 70 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan dipercayai ditetak pada badan, kepala dan leher mangsa.
“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga jiran mangsa di sekitar tempat kejadian bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan di lokasi turut menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini..
Menurut beliau, suspek pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Mayat warga emas itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














